GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim memaklumkan sesi libat urus mengenai taska, tadika dan pusat jagaan sangat penting dalam menangani isu-isu berbangkit.
Jelasnya, perjumpaan tersebut akan menjadi platform kepada Kerajaan Negeri mendengar sendiri cabaran yang dihadapi para pengusaha di lapangan.
“Sesi libat urus ini bukan sekadar perjumpaan, tetapi peluang bagi Kerajaan Negeri untuk mendengar secara langsung daripada pihak pengusaha tadika, taska dan pusat jagaan.
“Anda adalah individu yang menguruskan operasi harian dan berdepan dengan cabaran yang mungkin tidak dapat kami lihat secara terus.
“Antara isu utama yang dibangkitkan oleh pengusaha ialah proses mendapatkan, pelesenan, kewujudan ‘phantom checklist’ atau syarat berbeza antara daerah, serta ketidakselarasan maklumat daripada agensi teknikal, maka pihak Kerajaan Negeri akan membantu memperhalusi setiap masalah,” ujar beliau pada sesi Libat Urus Bersama Pengusaha Tadika, Taska dan Pusat Jagaan Bagi Kawasan Pulau di Komtar di sini pagi tadi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekuttif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng dan wakil-wakil pihak berkepentingan tadika, taska dan pusat jagaan.
Siew Khim dalam pada itu turut mengumumkan bahawa semua tindakan penguatkuasaan dan saman berkaitan isu permohonan lesen kecuali yang melibatkan aspek keselamatan atau kecuaian.
“Matlamat kita bersama adalah jelas, iaitu mengurangkan jumlah pusat tanpa lesen di Pulau Pinang tanpa menurunkan standard keselamatan dan penjagaan.
“Keselamatan kanak-kanak, keluarga dan warga emas mesti kekal sebagai keutamaan dalam setiap keputusan yang diambil,” jelasnya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang.
Difahamkan seramai 120 pengusaha taska, tadika dan pusat jagaan hadir pada sesi tersebut.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT