GEORGE TOWN – Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari menjelaskan bahawa proses menyiapkan reka bentuk semula projek Lebuhraya Lingkaran Pantai Utara atau North Coastal Paired Road (NPCR) dijangka siap pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Susulan itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memenuhi semua syarat berwajib termasuk mengadakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh bagi mendapatkan kelulusan baharu bagi Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan Laporan Penilaian Impak Sosial (SIA).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga berkata demikian ketika mengulas tindakan sebuah badan pendesak yang menyerahkan memorandum bantahan projek NPCR di perkarangan luar Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 17 November 2025.
“Apabila semua reka bentuk dimuktamadkan, barulah sesi libat urus dapat diadakan semula.
“Apa-apa syarat yang diperlukan untuk mendapatkan EIA dan SIA, kita (Pihak Berkuasa Negeri) akan laksanakan nanti… Kerajaan Negeri tidak lari daripada tanggungjawab,” jelasnya kepada pemberita.
ADUN Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng dan ADUN Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung turut hadir pada sidang media tersebut di bilik mesyuarat bangunan DUN di sini.
Mengulas lanjut, Zairil berkata Kerajaan Negeri sebenarnya telah mengadakan sesi libat urus awam serta memohon EIA dan SIA pada tahun 2016, dan memperoleh kelulusan berwajib pada tahun 2017.
Namun, memandangkan Kerajaan Negeri berhasrat membangunkan jajaran baharu bagi projek NPCR, semua syarat untuk mendapatkan kelulusan EIA dan SIA termasuk sesi libat urus awam dengan semua pemegang taruh perlu dilaksanakan semula.
Bagi projek penjajaran baharu NPCR yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2.9 bilion itu, Zairil berkata, Kerajaan Negeri merancang membina lebuh raya sepanjang 10.61 kilometer (km), meliputi 8.41km laluan darat dan 2.2km jejambat pesisir laut yang menghubungkan Tanjong Bungah hingga Teluk Bahang.
Tegas Zairil, tujuan utama cadangan pembinaan NPCR adalah untuk menyediakan akses baharu dan alternatif ke kawasan pelancongan pantai sekitar Batu Feringghi, yang ketika ini hanya diservis oleh satu jalan dua lorong dari Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.
“Hanya ada satu jalan dengan satu lorong naik dan satu lorong turun. Infrastruktur sedia ada adalah infrastruktur lama dan tidak mampu menampung peningkatan trafik yang ketara.
“Cuba bayangkan semasa musim cuti sekolah akan datang, hanya satu lorong yang dibuka untuk trafik naik dan turun dari Batu Feringghi.
“Kerajaan Negeri mencadangkan pembinaan satu akses baharu untuk penduduk Batu Feringghi dan Teluk Bahang,” jelasnya sambil mendesak wakil rakyat pembangkang menyatakan pendirian berhubung usaha Kerajaan Negeri merealisasikan projek NPCR.
Dalam masa yang sama, beliau memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan berusaha meminimumkan kesan sampingan seperti pencemaran bunyi dan gangguan trafik semasa kerja-kerja tanah projek NPCR dijalankan; sebagaimana kehendak penduduk tempatan di sekitar Batu Feringghi dan Teluk Bahang dalam memorandum bantahan yang dihantar kepada Kerajaan Negeri tengah hari tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Zairil turut memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih cerun runtuh di laluan P14 Jalan Tun Sardon masih dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka mengambil masa kira-kira empat bulan sebelum jalan dua hala itu dibuka semula.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT