Lif baru Pangsapuri Sri Bagan bukti Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berjiwa rakyat

Admin

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : G. REVATIC

BAGAN DALAM – Penduduk Pangsapuri Sri Bagan di sini kini boleh menikmati hidup lebih selesa selepas Kerajaan Negeri  bermurah hati menyumbangkan peruntukan 100 peratus sebanyak RM264,000 untuk lif baharu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa merasmikan lif baru itu berkata, pangsapuri berkenaan yang dibina sejak 1993 telah diabaikan pemaju yang sepatutnya bertanggungjawab melengkapkan segala kemudahan sebelum diserahkan kepada perbadanan pengurusan.

Namun begitu menurut beliau, sebagai sebuah kerajaan berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang sedia untuk meringankan beban penduduk di pangsapuri berkenaan yang menderita sejak sekian lama ekoran keadaan lif yang sering mengalami kerosakan.

“Diharapkan ini dapat memberi nafas lega kepada penduduk di sini apabila lif telah diperbaiki atas sumbangan sepenuhnya daripada Kerajaan Negeri.

“Saya difahamkan ada suatu ketika, ekoran pemaju tidak bertanggungjawab yang bersikap ‘cuci tangan’, keempat-empat lif di pangsapuri ini tidak berfungsi dan menyukarkan pergerakan penduduk, tetapi kini atas bantuan Kerajaan Negeri, semua lif telahpun beroperasi dengan baik,” ucapnya pada majlis perasmian berkenaan di sini 25 Februari lalu.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan; Ahli-ahli Majlis Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Bagan, Rosli Hassan; Ahli Jawatankuasa Pengurusan Penduduk Pangsapuri Sri Bagan serta komuniti setempat.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengingatkan pihak pemaju agar tidak mengganggu hasrat murni Kerajaan Negeri untuk membantu penduduk di pangsapuri berkenaan.

“Dah lama kita (Kerajaan Negeri) hendak masuk bantu tapi ini projek siapa? Kita tidak boleh masuk sesuka hati tanpa kebenaran.

“Sekarang kita sudah baiki lif dan kita berharap agar pihak pemaju tidak akan menghalang,” ujarnya.

Difahamkan, Pangsapuri Sri Bagan mempunyai 13 tingkat terdiri daripada 496 unit yang mana 464 unit adalah untuk kediaman manakala rumah kedai (32).