Bina gelanggang berbumbung dan naik taraf Jalan Mohd. Saad, projek berimpak tinggi manfaat semua penduduk

Admin

BAGAN JERMAL – Pembinaan Gelanggang Bola Keranjang Berbumbung di Jalan Mohd. Saad merupakan projek berimpak tinggi yang boleh dimanfaatkan semua penduduk setempat tanpa mengira perbezaan kaum, agama dan fahaman politik, kata Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng.

Beliau berkata, gelanggang yang dibina di atas tanah Kerajaan Negeri itu menelan kos sebanyak RM243,000.

“Kita (Kerajaan Negeri) begitu gembira kerana gelanggang ini boleh digunakan oleh semua penduduk terutamanya golongan belia dan kanak-kanak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

“Ia (gelanggang) boleh dikatakan projek berimpak tinggi kerana mampu memberi manfaat kepada semua, dengan kos (pembinaan) yang sangat rendah.

“Sekarang, penduduk boleh menyewa gelanggang ini untuk mengadakan sebarang majlis tanpa perlu bimbang lagi dengan keadaan cuaca,” ucapnya ketika merasmikan pembukaan gelanggang itu di sini 13 Februari lalu.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.

Selain itu, tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri juga telah menaik taraf Jalan Mohd. Saad dengan kos RM334,000 yang berjaya mengurangkan kesesakan jalan sebanyak 15 peratus.

“Ini jarang berlaku kerana untuk mengurangkan kesesakan sebanyak 15 peratus, ia perlukan perbelanjaan jutaan ringgit.

“Jalan ini (Jalan Mohd. Saad) merupakan jalan alternatif kepada penduduk untuk mengelakkan kesesakan di Jalan Raja Uda yang sentiasa sibuk, terutamanya pada musim perayaan.

“(Dan) yang penting, projek ini juga telah merancakkan kawasan setempat dan meningkatkan harga rumah di kawasan ini,” ujarnya.

Justeru, Guan Eng menyeru kepada penduduk di sini untuk terus memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri yang telah membawa banyak perubahan di kawasan ini.

“Saya yakin rakyat akan terus menyokong Kerajaan (Negeri) yang membawa lebih banyak perubahan.

“Jika kerajaan bawa perubahan buruk seperti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan), itu kita (rakyat) kena tolak,” serunya.