Lif dibaiki, 162 penduduk lega

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

AIR ITAMKesudian Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengadakan lawatan khas ke Flat Boundry di sini menyuntik nafas baru buat 162 penghuninya ekoran persetujuan Kerajaan Negeri membiayai separuh daripada kos pembaikan lif yang telah rosak sejak Mac lalu.

Kos yang bakal dibiayai Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM32,000, iaitu separuh daripada jumlah keseluruhan, RM65,000.

Guan Eng berkata, dengan bantuan dan peruntukantersebut, ia sedikit-sebanyak dapat meringankan beban penghuni flat berkenaan.

“ Kerajaan Negeri memahami kepayahan yang dihadapi 162 penghuni flat apabila hanya satu lif sahaja yang beroperasi.

“ Oleh itu , melalui peruntukan yang disalurkan, ia diharap dapat mengurangkan beban yang ditanggung terutamanya golongan tua dan orang kurang upaya (OKU),” ujarnya sempena lawatan ke sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri sebelum ini pernah menggesa kerajaan persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan supaya mempertimbangkan cadangan bayaran yuran penyelenggaraan dimasukkan sekali dengan bayaran yuran penilaian. Bagaimanapun, tiada sebarang jawapan diterima daripada pihak berkenaan.

Sementara itu , salah seorang penduduk, Ranjeet Kaur, 50, berkata, keadaan lif yang rosak telah mendatangkan masalah buat penduduk terutamanya pada waktu puncak.

“Hanya satu lif sahaja yang beroperasi sejak Mac lalu. Justeru, diharap dengan kedatangan Ketua Menteri ke sini dapat memberikan sinar baru buat kami (penduduk),’’ ujarnya kepada wakil Buletin Mutiara.

KETUA Menteri sambil ditemani beberapa penduduk meneliti sebuah mesin penyelenggaraan lif sempena lawatan beliau ke Flat Boundary di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri sambil ditemani beberapa penduduk meneliti sebuah mesin penyelenggaraan lif sempena
lawatan beliau ke Flat Boundary di sini baru-baru ini.