Loji UOP pindah ke P. Pinang

Admin

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

PERAI – Syarikat penapisan gas asli terkemuka dunia yang merupakan anak syarikat Honeywell International Inc, UOP LLC (UOP) memilih Pulau Pinang sebagai lokasi kedua (selepas Kuala Lumpur) di rantau Asia berhubung pemindahan sistem pengeluaran gas miliknya.

Ekoran pemindahan sistem tersebut ke kilang baru terletak di Seberang Prai Tengah (SPT) di sini, sistem membran gas sedia ada di Colorado, Amerika Syarikat akan ditutup dalam tempoh terdekat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UOP, Dr. Rajeev Gautam berkata, segala kemudahan penghasilan membran gas akan dipindahkan ke sini (Pulau Pinang), di mana inisiatif tersebut bakal mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam memenuhi permintaan tenaga gas asli dunia.

“Kilang di Pulau Pinang akan menghasilkan elemen membran gas di bawah jenama Separex. Gas asli adalah bahan api fosil yang paling pesat berkembang di dunia iaitu dengan penggunaan dijangka meningkat kepada 160 trilion kaki padu pada 2035.

“Malah, menurut Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat, hampir 35 peratus daripada permintaan gas asli dunia (pada masa itu) akan datang dari rantau Asia. Sebab itu, kami (UOP) memilih Pulau Pinang,’’ katanya pada Majlis Pelancaran Loji Baru UOP di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Beribu pejabat di Illinois, Amerika Syarikat, UOP merupakan pembekal gas asli terkemuka dunia dengan pemilikan lesen dalam menjalankan proses teknologi, pemangkin, penyerapan, pemprosesan dan perkhidmatan perundingan kepada penapisan petroleum, petro-kimia serta gas industri.

PARA pelawat diberi penerangan berhubung peranan UOP dalam membekalkan gas asli dunia bersempena Majlis Pelancaran Loji Baru UOP di sini baru-baru ini.
PARA pelawat diberi penerangan berhubung peranan UOP dalam
membekalkan gas asli dunia bersempena Majlis Pelancaran Loji Baru
UOP di sini baru-baru ini.