“Saya tak layak” – Guan Eng

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN“Saya tidak berminat untuk jadi Perdana Menteri, tak layak pun,” ujar Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika diminta mengulas berhubung ‘kenyataan’ Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai perjuangannya untuk memastikan individu bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri baru-baru ini.

KETUA Menteri menunjukkan keratan laporan akhbar yang telah memutar-belitkan kenyataan Karpal Singh di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri menunjukkan keratan laporan akhbar yang telah memutar-belitkan kenyataan Karpal
Singh di sini baru-baru ini.

Guan Eng pada majlis sidang medianya di sini baru-baru ini menegaskan bahawa kenyataan tidak rasmi Karpal bahawa jawatan Perdana Menteri tidak semestinya disandang oleh Melayu telah menjadi ‘buah’ bagi akhbar-akhbar arus perdana milikan UMNO untuk memutar-belitkan kenyataan tersebut.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, Karpal tersasul ketika mengeluarkan kenyataan tersebut dan ia telah dibangkitkan sebagai isu besar.

“Beliau (Karpal) tersasul ketika mengeluarkan kenyataan dan saya rasa ia tidak perlu diperbesarkan. Ini hanya satu propaganda oleh sesetengah media,’’ jelas beliau.

Dalam pada itu, Guan Eng menyatakan bahawa ramai lagi individu yang layak menyandang jawatan berkenaan.

“Cukuplah saya sebagai Ketua Menteri,” katanya yang turut menyatakan bahawa beliau tidak pernah berhasrat dan berminat untuk menyandang jawatan tersebut.

Lanjutan itu, beliau turut menyatakan bahawa Pakatan Rakyat (PR) masih berpegang teguh pada pendirian bahawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih layak menyandang jawatan Perdana Menteri jika PR berjaya menakluki Putrajaya pada Piliharanraya Umum ke-13 (PRU13).