GEORGE TOWN – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara yang kini memasuki fasa pembinaan di Bayan Lepas bakal menjadi pemangkin utama pembangunan ekonomi dan pengangkutan awam di Pulau Pinang, kata Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari.
Menurut beliau, projek ikonik itu bukan sahaja akan mempercepat mobiliti rakyat, malah merancakkan lagi pertumbuhan industri serta menyokong aspirasi negeri ke arah sebuah negeri pintar dan mampan.
“Projek LRT Pulau Pinang adalah pelaburan bersifat ‘game-changing’ untuk rakyat dan ekonomi negeri ini yang mana ia akan mempercepat pergerakan, menggerakkan industri kita dan memacu Pulau Pinang ke arah masa depan yang lebih hijau, pintar dan inklusif,” ujarnya pada Sesi Town Hall anjuran InvestPenang di sini pada 2 Oktober 2025.

Difahamkan, lebih 200 wakil pihak berkepentingan daripada kawasan perindustrian Bayan Lepas, Bayan Baru, Batu Maung dan Sungai Tiram hadir bagi mendapatkan taklimat mengenai pelan pengurusan trafik serta langkah mitigasi sepanjang tempoh pembinaan.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga memaklumkan bahawa kerja-kerja awal projek melibatkan pemindahan utiliti, pelebaran jalan dan pembersihan tapak akan bermula bulan ini, manakala pembinaan berskala besar dijadualkan hujung Disember.
“Laluan berkenaan dijangka beroperasi pada tahun 2031 dengan dua stesen utama iaitu Zon Perindustrian Bebas (FIZ) North dan FIZ South yang terletak strategik di sepanjang Jalan Sultan Azlan Shah,” jelasnya.
Pada sesi berkenaan, MRT Corp. Sdn. Bhd. selaku pemaju projek turut memberi penerangan menyeluruh mengenai pelan keseluruhan dan jadual pembinaan.
SRS Consortium Sdn. Bhd. pula membentangkan tanggungjawab kontraktor termasuk pelaksanaan pelan pengurusan trafik yang melibatkan penutupan lorong secara berfasa, laluan lencongan serta pemantauan trafik lebih rapi.

Sesi soal jawab turut diadakan selepas itu dengan dihadiri oleh Pengarah Projek LRT Pulau Pinang, Azmi Abdul Rahman dan Pengarah Projek SRS Consortium Sdn. Bhd., Adil Putra Ahmad yang memberi peluang kepada wakil-wakil industri mengemukakan soalan serta kebimbangan mereka.
Terdahulu, Adil Putra memaklumkan supaya penduduk di kawasan terlibat bersiap sedia menghadapi kesesakan lalu lintas mulai pertengahan Januari 2026 apabila salah satu jalan utama akan ditutup beberapa lorong bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan yang dijangka mengambil masa 38 bulan untuk disiapkan.
“Sebahagian jalan sepanjang 2 kilometer di Jalan Sultan Azlan Shah akan dikurangkan daripada tiga lorong kepada dua lorong melibatkan laluan dari simpang Jalan Kampung Jawa – Jalan Mahsuri hingga ke simpang Jalan Mayang Pasir.
“Selain itu, beberapa lampu isyarat juga akan ditanggalkan bagi membolehkan aliran trafik lebih lancar termasuk mewujudkan lebih banyak lokasi pusingan-U.
“Pastinya projek sebesar ini memerlukan perancangan pengurusan trafik sementara yang sangat teliti,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi MRT Careline di talian 1800-88-6782 atau emel di [email protected].