LTABL baru dijangka lewat 2 bulan

BAYAN LEPAS – Projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan lepas yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM250 juta dijangka siap sepenuhnya Ogos 2012 walaupun berlaku kelewatan dan beberapa masalah teknikal ketika ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika lawatan kerjanya berkata, Kerajaan Negeri sedikit sebanyak menerima tempias akibat daripada kelewatan tersebut sehingga menjejaskan dan memberikan ketidakselesaan kepada para pengguna.

Walaupun projek tersebut dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan, kita (Kerajaan Negeri) terpaksa mengambil tahu apabila kerja-kerja pembesaran dan penambahbaikkan ini telah menyebabkan berlakunya banjir dan kebocoran apabila hujan lebat.

Pengunjung yang menggunakan lapangan terbang ini akan mengalami kesukaran bukan sahaja kepada perjalanan mereka, tetapi, lebih teruk sekiranya banjir dan kebocoran ini menyebabkan kerosakkan barangan yang dibawa,” ujarnya di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau menggesa agar pembesaran dan penambahbaikkan tersebut dapat dilaksanakan secepat yang mungkin.

Kerajaan Negeri sangat berharap segala masalah teknikal yang dihadapi dapat diselesaikan pada kadar segera kerana ini (masalah) memberikan imej negatif kepada para pelawat, pelabur dan pelancong yang datang ke sini.

Kepentingan, kepuasan dan kelesaan setiap pengunjung ke negeri ini adalah keutamaan yang perlu kita jaga. Lapangan terbang memberikan tanggapan pertama mereka apabila memasuki Pulau Pinang, seharusnya, perkara ini tidak sama sekali berlaku,” tegas beliau.

Hadir sama Pengerusi Malaysia Airport Berhad, Tan Sri Datuk Aris Othman dan Pengurus Besar Malaysia Airport Berhad, Datuk Azmi Murad.