‘Tuduhan tidak benar!’ – KM

GEORGE TOWN – “Tuduhan itu tidak benar, saya tidak arahkan mana-mana pihak untuk memboikot akhbar Melayu,” tegas Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng ketika diminta mengulas berhubung laporan salah sebuah akhbar menyatakan beliau mengugut untuk tidak memberi sebarang bentuk peruntukkan kepada sekolah di negeri ini yang melanggan akhbar-akhbar Melayu tertentu.

Jelas Ketua Menteri, beliau tidak pernah menyebut atau menghalang mana-mana sekolah di Pulau Pinang terutama sekolah Cina di negeri ini untuk melanggan akhbar berbahasa Melayu. Sebaliknya, beliau cuma menyarankan supaya memboikot akhbar berbahasa Melayu yang mengada-adakan cerita, mengadakan laporan yang tidak tepat dan benar serta selalu mengelirukan rakyat.

Tambah beliau lagi, laporan sedemikian bukan sahaja mampu meracuni pemikiran pelajar sekolah, malah, turut mengheret isu mempelajari bahasa kebangsaan.

“Kononnya saya menghalang semua sekolah Cina mempelajari bahasa kebangsaan.

“Tuduhan demikian memang tidak berasas,” tegas beliau pada majlis sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Sementara itu, dalam majlis sidang akhbar sama, beliau turut meminta agar rakyat Pulau Pinang supaya tidak terjebak dengan dakyah tidak benar ekoran amaran kejadian tsunami yang menyatakan bahawa perkhidmatan Jambatan Pulau Pinang dan feri ditutup sejurus selepas gerak gempa yang melanda Sumatera baru-baru ini.

“Khabar angin sebegini berniat jahat, bertujuan untuk melumpuhkan kelancaran ekonomi Pulau Pinang yang bergantung kepada sektor pelancongan dan perkilangan.

“Sekiranya terdapat gangguan perkhidmatan jambatan dan feri, pihak berkenaan perlu berunding terlebih dahulu dengan Kerajaan Negeri,” ujar Guan Eng yang turut mengadakan pertemuan dengan para penggerak industri utama dalam menghadapi kecemasan berkenaan.

Hadir sama, Pengerusi Frepenca yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Globetronics, Heng Huck Leng; Pengerusi Penang Hoteliers Association (PHA), Mary Ann Harris; Pengerusi Bersama PHA, Marco Bassistotti dan para penel penggerak industri utama negeri.