Lukisan mural babit 14 sekolah KADUN Air Itam bangkitkan semangat patriotisme

img 20250808 wa0063

AIR ITAM – Sebanyak 14 buah sekolah termasuk empat tadika di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam terlibat dalam projek lukisan mural bertemakan patriotik di sini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, projek yang dimulakan sejak tiga minggu lalu adalah bertujuan membangkitkan semangat patriotism bukan sahaja dalam kalangan pelajar sekolah tetapi juga penduduk setempat.

 

img 20250808 wa0062
JOSEPH Ng Soon Siang (dua dari kanan) turut memberi sentuhan kreatif pada dinding mural di sini.

 

“Projek ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kemerdekaan di samping menyemai nilai-nilai kenegaraan dalam kalangan generasi muda.

 

Projek lukisan mural yang berukuran setengah kilometer ini juga adalah bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 yang bakal diraikan pada 31 Ogos ini.

 

“(Dan) juga bersempena Hari Malaysia yang akan disambut pada 16 September depan,” ujarnya ketika hadir pada majlis ringkas di lokasi projek lukisan mural di sini pada 8 Ogos 2025.

 

img 20250808 wa0067
ANTARA murid dan guru yang mengambil bahagian dalam projek lukisan mural bertemakan patriotik di sini.

 

Menurut Soon Siang, projek lukisan mural ini merupakan yang kedua dilaksanakan di sini, yang mana kali pertama adalah semasa pandemik di Pasar Air Itam.

 

“Kali ini, kita mendapat sentuhan pelukis tempatan, Ooi Kok Chuan dan tajaan daripada syarikat swasta termasuk Sunshine Central atas tajaan makanan kepada peserta sepanjang projek ini.

 

img 20250808 wa0057
SETIAP sekolah mempunyai ruangan masing-masing untuk disiapkan.

 

“Selain itu, pihak Equator juga terlibat dalam menyempurnakan projek ini yang dijangka siap pada bulan September nanti.

 

“(Dan) saya berharap agar dapat melakar potret tokoh-tokoh tempatan kelahiran Pulau Pinang pada mural ini,” katanya sambil mengalu-alukan mana-mana pihak swasta atau orang-perseorangan untuk menaja projek berkaitan.

 

img 20250808 wa0054
SALAH satu bahagian dinding mural yang hampir siap.

 

Ditanya mengenai kos projek tersebut, Soon Siang memberitahu antara RM60,000 hingga RM70,000 termasuk meletakkan logo syarikat-syarikat atau nama individu yang memberi tajaan pada lukisan mural terbabit.

 

Difahamkan, projek yang mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah Timur Laut itu melibatkan kira-kira 100 pelajar dan guru dari sekolah-sekolah berkaitan.

 

Pada kesempatan sama, Soon Siang turut menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan projek berkenaan termasuk pasukan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) setempat.

 

img 20250808 wa0064
PARA pelajar dan guru yang terlibat dalam projek berkaitan mengabadikan kenangan bersama-sama pada majlis berkaitan di sini pagi ini.

 

Antara sekolah yang mengambil bahagian adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Itam; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rajaji; Sekolah Menengah (SM) Chung Ling; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Itam; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Kang; SJKC Kong Min Pusat; SJKC Kong Min Cawangan; SJKC Chiao Nan; SJKC Shang Wu dan SM Chung Ling (Persendirian).

 

Sekolah tadika pula adalah Wise Junior; B&G Educare Centre; D Kingdom Preschool dan Junior Scholar.

 

img 20250808 wa0070
SETIAP peserta menunjukkan ketekunan menyiapkan bahagian mural masing-masing.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALISSALA THIAN