Luncur Penang Meeting Planners Guide, sasar jana RM1 bilion melalui BE

Admin

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWNPenang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) baru-baru ini meluncurkan Penang Meeting Planners Guide edisi kedua iaitu buku panduan komprehensif tentang perkembangan dan acara perniagaan atau business events (BE) di Pulau Pinang.

Disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, Penang Meeting Planners Guide menyenaraikan lebih daripada 130 lokasi, penginapan, restoran dan pembekal bagi membantu perancangan mesyuarat, acara perniagaan dan pemasaran serta menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong perniagaan.

Guan Eng ketika berucap berkata, acara-acara perniagaan merupakan kunci utama yang menyumbang terhadap perkembangan pelancongan perniagaan atau business tourism.

“Pelancong perniagaan kebiasaannya secara purata membelanjakan kira-kira RM7,000 berbanding pelancong biasa yang cuma membelanjakan RM2,000 sahaja.

“Mengikut Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU), industri pelancongan merupakan penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan kadar pertumbuhan secara purata mencecah 12 peratus setiap tahun sejak tahun 2004.

“(Dan) Malaysia bakal menjadi destinasi utama pilihan acara-acara perniagaan menjelang tahun 2020 dengan pendapatan kasar nasional (GNI) berjumlah RM3.947 bilion,” ujarnya pada majlis peluncuran buku panduan berkaitan dekat sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang; Pengerusi Malaysia Association of Hotels (MAH), Penang Chapter, Khoo Boo Lim dan Presiden Penang Centre of Education Tourism (PCET) dan Presiden Penang Centre of Medical Tourism (PMED), Mary Ann Harris.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang kini berada pada landasannya apabila sejumlah 141,864 delegasi luar negara dicatatkan menghadiri 1,251 acara perniagaan di Pulau Pinang serta menjana pendapatan RM808 juta.

“Hampir 42 peratus daripadanya membabitkan mesyuarat, acara korporat dan insentif bertaraf global dan sekiranya tumpuan diberikan, saya percaya sektor ini (BE) mampu berkembang pesat sekaligus menyumbang terhadap ekonomi negeri ini.

“(Dan) dengan kemudahan seperti Pusat Konvensyen SETIA SPICE dan Pusat Konvensyen The Light Waterfront yang bakal siap pada 2022, Pulau Pinang mampu menjadi hab untuk acara-acara perniagaan,” jelasnya yang memuji inisiatif PCEB menerbitkan Penang Meeting Planners Guide.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin ketika ditemui berkata, pihaknya kini cuba menyahut cabaran Ketua Menteri yang mahu melihat pertumbuhan acara perniagaan sehingga 20 peratus tahun ini serta menjana pendapatan RM1 bilion.

“PCEB yakin dengan kemudahan yang diberikan oleh pihak Kerajaan Negeri, Pulau Pinang mampu menjadi destinasi pilihan pelancong perniagaan, sekaligus meningkatkan keupayaan sumber manusia dan pengurusan profesional di negeri ini,” katanya.

PCEB merupakan biro yang ditubuhkan bagi merencana perkembangan acara perniagaan serta aktiviti MICE (meeting, incentives, conference, exhibition) di Pulau Pinang.