Renang rentas selat, acara antarabangsa tahunan kalendar sukan negeri – Exco

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : MPSP

BAGAN JERMAL – Tan Rupert dan Jose Luis Larossa Chorro muncul sebagai dua pemenang teratas dalam cabaran edisi ketiga Renang Rentas Selat Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa 2017 pada 25 Mac lalu, dari pantai dekat Persiaran Gurney ke persisiran Pantai Bersih dekat Butterworth di sini.

Ketika ditemui, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng berkata, acara itu sebenarnya telahpun diadakan pada 1988, dan cuba dihidupkan semula oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

“Justeru, kita (Kerajaan Negeri) harap Penang International Cross Channel Swim (Renang Rentas Selat Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa) ini akan menambahkan satu lagi acara tahunan dalam kalender pelancongan sukan negeri di peringkat antarabangsa.

“Kali ini, saya dapati hampir semua peserta memakai pakaian renang menutup seluruh badan untuk elak tersentuh oborobor seperti tahun lepas, dan ini ciriciri keselamatn yang bagus bagi acara peringkat antarabangsa, ” katanya pada penganjuran berkaitan di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Datuk Frederick Tan Teck An antara pemimpin negeri yang hadir meraikan acara tahunan tersebut.

Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang (PASA), MSNPP, MPSP serta beberapa pertubuhan lain yang saling bekerjasama menjayakan acara tersebut.

Manakala Maimunah pula memberitahu, penganjuran acara tahunan tersebut sekaligus menyumbang kepada usaha meremajakan lagi kawasan pelancongan Pantai Bersih, sebagaimana dirancang secara bersama antara MPSP dan Syarikat Think City Berhad (ThinkCity) di bawah Projek Butterworth Baharu.