Bank kitar semula pupuk etika pengasingan sisa masyarakat

AIR ITAM – Pelancaran projek perintis bank kitar semula yang dilancarkan di Flat Kampung Melayu di sini baru-baru ini diharap dapat mendidik masyarakat setempat untuk mengasingkan sisa domestik mengikut kategori ditetapkan.

Selaras dengan Dasar Pengasingan Sisa Di Punca yang bakal dikuatkuasakan pada 1 Jun nanti, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pengenalan bank kitar semula di bawah kategori Projek Perumahan Rakyat (PPR) tersebut merupakan pendekatan langsung dalam mendidik masyarakat untuk mengitar semula sisa domestik masing-masing.

“Flat ini (Kampung Melayu) merupakan flat PPR pertama melaksanakannya iaitu membabitkan pengasingan sisa kitar semula seperti kertas, plastik, kaca dan aluminium serta pengasingan sisa baki seperti sisa makanan dan sisa kotoran.

“Diharap supaya penduduk dapat memupuk etika pengasingan sisa di punca di rumah masing-masing demi kelestarian generasi akan datang,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Projek Bank Kitar Semula di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Kampung Melayu di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin, Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran MBPP, Mubarak Junus dan Ahli Majlis MBPP, Syerleena Abd. Rashid.

Projek bank kitar semula tersebut adalah hasil kerjasama antara Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Kerajaan Tempatan bersamasama JKKK Flat Kampung Melayu.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, sejumlah 1,700 tan sampah dikutip dan dilupuskan di tapak pelupusan Pulau Burung setiap hari.

“Oleh demikian, pengenalan bank kitar semula ini adalah amat bersesuaian yang mana penduduk boleh melaksanakan pengasingan sisa dan ia akan dibayar mengikut nilaian kategori yang ditetapkan setiap bulan,” jelasnya yang juga ADUN Padang Kota.

Melalui pendekatan tersebut, penduduk yang mengasingkan sisa bakal berurusan terus dengan ‘penjaga’ bank kitar semula pada setiap hari Sabtu, bermula jam 9 pagi sehingga 12 tengahari.

Apabila cukup sebulan, pihak berwajib akan memungut dan membuat nilaian mengikut kadar timbangan setiap kategori.

Sejumlah 80 peratus daripada nilai terkumpul akan disalurkan kepada penduduk dalam bentuk tunai, manakala bakinya (20 peratus) akan disumbangkan kepada JKKK sebagai kos operasi, pengurusan dan aktiviti komuniti.

} else {