Majlis Pengangkutan P. Pinang fokus aspek pelaksanaan ‘pelan induk’ – Exco

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Pelantikan 21 anggota Majlis Pengangkutan Pulau Pinang (PTC) tanpa partisipasi rasmi daripada perunding pakar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tempoh dua tahun mulai 1 Oktober 2015 hingga 30 September 2017 dipersoal baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, PTC yang baru dilantik hanya berperanan melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (TMP), iaitu dokumen rasmi Kerajaan Negeri yang dihasilkan pada 23 Mac 2013 dengan membabitkan syor-syor daripada perunding pakar dan wakil NGO sendiri.

“Fokus (PTC) pada koordinasi pelaksanaan, maka, fokus lebih pada agensi kerajaan.

“Sebab itulah, keanggotaan majlis ini melibatkan (pihak) kerajaan dan agensi kerajaan sahaja,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wartawan, selepas Majlis Pelantikan Ahli Majlis PTC yang disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam ucapannya berkata, tujuan penubuhan PTC pada tahun 2009 adalah untuk menangani cabaran kesesakan trafik di negeri ini.

“Penang Transport Master Plan (TMP) bernilai RM27 bilion yang merupakan projek infrastruktur kedua besar dalam sejarah Malaysia, akan mengubah wajah Pulau Pinang sebaik ia siap pada tahun 2030.

”Dan, yang lebih penting ia (TMP) juga akan menjadi pemangkin ekonomi yang boleh menjaminkan masa depan dan pembangunan mampan Pulau Pinang sehingga tahun 2050,” ucapnya yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih.

Difahamkan, TMP merangkupi lima mood pengangkutan awam seperti bas, teksi, transit aliran ringan (LRT), trem, kereta kabel, feri dan teksi air.

”Ia (TMP) akan melibatkan pembinaan jalanraya, lebuhraya, terowong bawah dasar laut, landasan keretapi LRT, pengangkutan air dan kereta kabel yang merentasi udara dari pulau ke Seberang Perai,” jelas beliau.

Pada pertengahan Ogos lalu, Konsortium SRS dipilih menjadi Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi TMP bernilai RM27 bilion, mulai sekarang hingga tahun 2030.

Konsortium SRS terdiri oleh Gamuda Berhad serta dua syarikat dari Pulau Pinang, Loh Phoy Holdings Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd..

Konsortium SRS di bawah Datuk Lin Yun Ling (Pegawai Eksekutif Gamuda Berhad) perlu mendapatkan semua kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat dalam tempoh enam bulan, atau menanggung segala kos pengurusan, jika gagal kelak.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa pihaknya berharap PTC akan memainkan peranan penting dalam memastikan rancangan pembangunan big-bang tersebut oleh PDP mengikut landasan PTC.