Mitigasi ‘Bukit Botak’ jangka siap Jan. 2016 – Exco

GEORGE TOWN – Kerja-kerja mitigasi di Bukit Relau yang lebih dikenali sebagai ‘Bukit Botak’ diteruskan semula sejak Julai lalu dan projek kehijauan tersebut dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kerja-kerja mitigasi yang dilakukan antaranya adalah menanam pokok dan rumput, membina kolam enapan dan membina sistem parit, demi mengelak bencana seperti limpahan air atau risiko hakisan tanah daripada berlaku.

“Memang kalau dari Jambatan Pulau Pinang, nampak kawasan ‘Bukit Botak’ itu menjadi semakin botak, tetapi, sebenarnya itu adalah kerja mitigasi yang sedang dijalankan.

“Sepatutnya ia siap (pada) Disember ini, tetapi, agak terlewat sedikit berikutan jerebu dan musim hujan, jadi kami jangkakan, ia siap sepenuhnya pada Januari depan,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja meledakkan batu-batu di kawasan bukit tersebut untuk tujuan mitigasi sendiri memerlukan permit berwajib daripada Jabatan Mineral dan Geosains serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Akibatnya, Kon Yeow berkata, kesukaran melakukan kerja-kerja mitigasi di kawasankawasan berbatu serta berkecerunan tinggi mengakibatkan beberapa bahagian gondol di bukit tersebut dapat dilihat daripada pemandangan Jambatan Pulau Pinang.

Beliau bagaimanapun menjelaskan bahawa kerja-kerja mitigasi yang telahpun dilaksanakan sebelum ini telah 30 peratus siap, serta mampu meminimumkan risiko hakisan tanah akibat aktiviti penggondolan bukit sejak pertengahan tahun 2013.

Terdahulu, isu penggondolan sekitar Bukit Relau telah mendapat bantahan banyak pihak kerana dilihat bercanggah dengan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020. Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang yang diwartakan pada 28 Jun 2007 itu antara lain melarang pembangunan di kawasan melebihi 76.2 meter (250 kaki) dari paras laut dan di cerun dengan kecerunan melebihi 25 darjah. Isu ‘Bukit Gondol’ itu turut dibahaskan secara serius di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, tahun lalu.

Menurut Kon Yeow, syarikat yang terbabit dalam aktiviti penggondolan Bukit Relau itu turut dirujuk ke mahkamah, selain mengarahkan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP) mengambil langkah perundangan ke atas pemilik tanah Cangkat Bukit Gambir, yang didakwa memugar tanah persendirian itu tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).}