Makam Sheikh Omar miliki nilai warisan tinggi terpelihara

Admin
whatsapp image 2025 05 14 at 3.33.11 pm

MAKAM Sheikh Omar Basheer iaitu mufti pertama Pulau Pinang yang terletak di Kampung Melayu, Air Itam telah diwartakan sebagai Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).

Pegawai Perancang Bandar dan Desa bagi Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, ROZAINI HASSAN berkata bahawa atas kepentingan personaliti Sheikh Omar, ia telah menyumbang kepada penyebaran agama Islam di Pulau Pinang dan secara tidak langsung menjadikan tapak berkaitan sangat signifikan dari segi sejarah Negeri.

whatsapp image 2025 05 14 at 6.36.18 pm
ROZAINI Hassan.

“Sekarang makam berkenaan sedang dalam peringkat penilaian untuk diwartakan di bawah Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 (Enakmen 14).

“Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang yang mula beroperasi secara rasmi pada tahun 2021 sedang mengenal pasti bangunan serta tapak berpotensi untuk diwartakan sebagai warisan negeri, termasuk Makam Sheikh Omar ini,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara pada 7 Mei lalu.

Menurut Rozaini, selain kepentingan pada sudut sejarah, makam berkaitan turut memiliki nilai seni bina tinggi dengan seni bina bercirikan Moorish, menjadikannya antara struktur unik dan signifikan dalam konteks warisan Islam serta budaya tempatan.

“Seni bina makam ini juga merupakan salah satu nilai penting dalam pemilihan dan penilaian tapak warisan,” jelasnya.

Difahamkan, Sheikh Omar merupakan imam pertama Pulau Pinang di Masjid Melayu Lebuh Aceh. Makam berkaitan memegang dua rekod di Pulau Pinang, iaitu makam umat Islam terbesar dan terindah.

Ia dipercaya dibina selepas tahun 1881 selepas Allahyarham meninggal dunia pada usia 70 tahun. Allahyarham juga dikatakan turut memainkan peranan besar dalam menyebarkan ajaran Islam serta membuka jalan kepada penubuhan Sekolah Al-Mas’ud, yang bermula dari masjid tersebut sebelum berpindah ke lokasi lain.

whatsapp image 2025 05 14 at 3.36.46 pm
PAPAN info sejarah Makam Sheikh Omar Basheer.

Mengulas mengenai bidang pengurusan, Rozaini memberitahu bahawa makam yang terletak di atas tanah wakaf itu berada di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

“Kerja-kerja penyelenggaraan makam ini dipantau oleh Jabatan Warisan Negara dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Selain warisan ketara seperti bangunan dan tapak, pengiktirafan juga diberikan kepada warisan tidak ketara seperti seni silat, pantun dan budaya sarapan pagi yang telah pun mendapat pengiktirafan di peringkat UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu),” ulasnya lanjut.

Mengulas lanjut, Rozaini turut menjelaskan bahawa terdapat empat peringkat pengiktirafan warisan di Malaysia, iaitu peringkat antarabangsa di bawah UNESCO; peringkat kebangsaan di bawah Akta 645; peringkat negeri di bawah Enakmen Warisan Negeri dan peringkat Perancangan Tempatan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pewartaan Rancangan Tempatan atau Rancangan Kawasan Khas.

e8b7972b 37d0 4d5f 807e 3a3055702bc2
MAKAM bersejarah penuh nilai warisan.

Justeru, beliau menyatakan bahawa masyarakat perlu mengetahui tahap pengiktirafan sesuatu warisan agar lebih jelas mengenai agensi bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pengurusannya.

 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang ketika dihubungi mengakui maka tersebut pernah menjadi tumpuan pelancong, dan adalah diharapkan dengan status warisan yang diperoleh, ia mampu menggamit semula kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke lokasi berkaitan.

Soon Siang diminta mengulas sebagai wakil rakyat kawasan terletaknya makam berkaitan.

 

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSHAD OMAR