Maklum balas awam masih dibuka, Exco mahu operasi Penang Smart Parking lebih efisien

Admin

 

GEORGE TOWN – Sebagaimana dijanjikan, Hei Tech Padu (HTP) Berhad telahpun siap memasang keseluruhan 1,031 sensor bagi projek perintis sistem letak kereta secara pintar pertama negara, Penang Smart Parking (PSP), termasuk 34 sensor tambahan untuk tempat letak kereta biasa, orang kurang upaya (OKU) dan wanita mengandung di negeri ini.

Bercakap kepada pemberita, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya masih membuka ruang untuk pengguna memberi maklum balas berhubung pengoperasian aplikasi PSP ini.

“Tujuan sistem parkir pintar ini diperkenalkan pada peringkat projek perintis bagi kedua-dua PBT (pihak berkuasa tempatan) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), paling utama adalah untuk memastikan perkhidmatan paling efisien untuk rakyat guna (aplikasi pintar ini),” jelas beliau dalam sidang media di Jalan Bishop, selepas menggunakan sendiri aplikasi pintar tersebut untuk meletak kenderaan rasmi Exco di sini.

Turut serta, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; dan Naib Presiden Eksekutif HTP Berhad, Abdul Halim Md. Lassim dengan beberapa pihak berkepentingan lain.

Terdahulu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat pada 23 Ogos lepas memberitahu pemberita bahawa HTP Berhad menghadapi beberapa masalah teknikal dalam menyiapkan projek perintis tersebut, seperti dipersetujuan kedua-dua belah pihak.

Lalu, Jagdeep memberikan masa lanjutan sehingga 24 September 2019 untuk memasang baki 967 buah sensor di beberapa kawasan sekitar George Town dan Icon City yang berada dalam kawasan Seberang Perai Tengah (SPT).

Sehingga kini, Jagdeep memberitahu 46,125 pengguna telahpun memuat turun aplikasi Penang Smart Parkir sama ada menerusi IOS ataupun Android.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS