Manfaatkan AI dalam tadbir urus MBSP demi penuhi ekspektasi pelanggan, kata Datuk Bandar

Admin
6db8b33a f0c3 4000 9708 58ae5d38545a

SEBERANG JAYA – Sekalian kakitangan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) disyor memanfaatkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam tadbir urus moden Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) demi memenuhi ekspektasi pelanggan dan para pemegang taruh berwajib.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid menyampaikan amanat itu semasa berucap dalam Majlis Perhimpunan Korporat di lobi Menara Bandaraya di sini pada 23 Mei 2025.

“Tidak dinafikan, sebagai sebuah PBT, MBSP seringkali berdepan dengan pelbagai cabaran dan kekangan dalam usaha memenuhi ekspektasi masyarakat yang semakin meningkat.

“(Sementara itu,) AI telah terbukti sebagai alat yang sangat berharga dalam pentadbiran moden (yang mana) daripada automasi tugasan rutin sehinggalah kepada analitik data yang kompleks, AI menawarkan pelbagai manfaat yang dapat meningkatkan kecekapan, keselamatan dan keberkesanan operasi sesebuah organisasi.

“(Justeru,) kita tidak boleh terus berada di takuk lama dalam suasana kerja yang masih dibelenggu dengan mentaliti dan fahaman lama yang tidak lagi relevan dalam arus cabaran masa kini,” jelasnya lagi sambil merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Pekerja yang diraikan pada tanggal 1 Mei lepas.

Serantak pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sijil kenaikan pangkat dan pentauliahan Ahli Kumpulan Rakan Pembimbing (AKRAB) kepada sejumlah kakitangan MBSP yang layak.

Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor dan sekalian Ahli Majlis PBT berkenaan turut sertai acara bulanan tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD