Manfaatkan pengalaman sebagai Pegawai Seranta bantu selesaikan isu rakyat

photo 2026 01 14 10 32 47

PENGALAMAN sebagai Pegawai Seranta kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim akan digunakan sebaik mungkin oleh MUHAMAD NAYIM OTHUMAN MYDIN yang dilantik sebagai Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) penggal 2026.

Ketika ditemui oleh wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI, pengalaman sejak tahun 2016 itu secara tidak langsung memberi pendedahan kepada beliau dalam menguruskan isu rakyat dan pentadbiran pada peringkat akar umbi.

“Apabila diberi amanah dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis, bidang ini membentuk perspektif kerja komuniti, kebajikan masyarakat sambil membentuk perspektif saya, khususnya dalam memahami keperluan sebenar rakyat di lapangan.

“Hal ini kerana salah satu tugas Ahli Majlis juga perlu menyantuni rakyat atau komuniti bagi menyelesaikan isu-isu setempat yang dihadapi termasuk menganggotai jawatankuasa tetap MBPP.

“Justeru, pengalaman mengendalikan aduan penduduk, menyelaras bantuan dan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan sangat membantu dalam melaksanakan tugas sebagai seorang Ahli Majlis,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.

Mohamad Nayim menyifatkan pelantikan tersebut sebnagai satu amanah besar dan penghormatan untuk beliau terus berkhidmat kepada masyarakat pada peringkat yang lebih tinggi dan berstruktur.

“Sekiranya sebelum ini saya banyak berurusan peringkat komuniti dan masyarakat, sebagai Ahli Majlis pelbagai peringkat termasuk yang tertinggi perlu saya hadapi.

“Contoh paling mudah adalah agensi-agensi kerajaan dan badan-badan pelaksana atau pihak-pihak swasta serta korporat,” ulasnya lagi.

Beliau dalam pada itu, turut mengakui 2026 menjadi tahun yang mencabar bagi aliran trafik lalu lintas yang mana ia kerap menjadi rungutan oleh penduduk negeri ini.

“Seperti mana kita tahu, kesesakan lalu lintas memang sedia mencabar dan bagi tahun ini pula, kerja-kerja fizikal pembinaan transit aliran ringan (LRT) bermula.

“Ini akan mengakibatkan aliran trafik berubah, lencongan akan berlaku dan ini mampu memberi kesan kepada aliran trafik semasa.

“Jadi pada peringkat MBPP, adalah penting untuk kita bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan dalam memastikan kerja-kerja pembinaan berjalan lancar di samping aliran trafik juga baik, agar kesan kepada rakyat dapat dikurangkan,” maklum Mohamad Nayim.

Namun, fokus utama Mohamad Nayim sebagai Ahli Majlis adalah memperkukuh perkhidmatan kepada rakyat, mempercepat penyelesaian aduan dan memastikan tadbir urus yang cekap dan telus.

“Saya percaya dengan perkhidmatan terbaik akan mendatangkan kepercayaan rakyat kepada kita selaku penyampai di pihak MBPP dan Kerajaan Negeri.

“Itu sebenarnya yang rakyat mahu lihat, bukan karenah birokrasi, pertindihan, alasan lapuk, sebaliknya tindakan dan usaha yang lebih serius ditampilkan bagi mengangkat sesuatu itu itu hingga berjaya diselesaikan.

“Dalam zaman teknologi ini, saya percaya melalui kerjasama semua pihak pada peringkat komuniti seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), perkara ini mampu direalisasikan,” katanya lagi.