Mangsa banjir harap RTB Sg. Teluk Kumbar disempurnakan segera

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

BAYAN LEPAS – “Alhamdulillah, syukur sangat-sangat, orang memberi kita merasa,” luah warga emas yang juga penerima sumbangan banjir Kerajaan Negeri, Che Su Ahmad, 66, dari Kampung Nelayan, dekat sini.

Che Su merupakan antara 24 keluarga mangsa banjir di Teluk Kumbar yang menerima sumbangan (banjir) daripada Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Menurut Che Su, dia amat berbesar hati dan gembira menerima sumbangan tersebut daripada Kerajaan Negeri yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri amat prihatin dengan nasib yang menimpa kami,” katanya yang turut berkongsi detik-detik cemas apabila air mula mencecah paras lutut dalam tempoh beberapa jam dalam kejadian 18 Julai lalu.

Seorang lagi penerima, Romzi Abdullah, 63, turut meluahkan rasa syukur memperoleh bantuan tunai daripada Kerajaan Negeri.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri…sumbangan ini dapatlah bantu perbelanjaan harian kami sekeluarga,” katanya yang berasal dari Sarawak, tetapi sudah menetap di Pulau Pinang sejak tahun 1975.

Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz ketika ditemui turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang berterusan bertanyakan khabar dan menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Teluk Kumbar.

“Kali ini, Kerajaan Negeri bukan sahaja menghulurkan bantuan kewangan kepada 24 keluarga mangsa banjir, malah juga membawa berita gembira apabila sebelum ini, Y.B. Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) mengumumkan peruntukan pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Teluk Kumbar.

“Melalui peruntukan RTB tersebut, sebuah rumah pam baharu akan dibina berdekatan muara Sungai Teluk Kumbar menggunakan pam yang lebih besar dan sekaligus dapat mengurangkan risiko banjir melanda beberapa kampung dekat Bayan Lepas.

“Lagipun, kawasan di sini (Teluk Kumbar) kerap dilanda banjir apabila air pasang, tetapi banjir baru-baru ini dipercayai akibat hujan lebat yang luar biasa,” katanya pada Majlis Penyampaian Sumbangan Banjir Kampung Nelayan Teluk Kumbar baru-baru ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Ederis Mat Din.

Rata-rata mangsa banjir yang ditemui pada majlis tersebut berharap projek RTB Sungai Teluk Kumbar dapat disempurnakan segera bagi mengelak kejadian banjir besar pada tahun 2013 berulang lagi.

Pada 18 Julai lalu beberapa kawasan sekitar Bayan Lepas dilanda banjir kilat termasuk Taman Iping dekat Batu Maung setelah hujan turun tanpa henti selama beberapa jam sehingga memaksa 24 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara di Dewan Komuniti Teluk Kumbar.