Lancar Skim Sewa Beli rumah, ganti SOS

JAWI – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang memperkenalkan Skim Sewa Beli unit rumah di Taman Seruling Emas dan Taman Sungai Duri Permai, kerana Skim Pemilikan Bersama (SOS) yang dicadangkan sebelum ini bagi kedua-dua projek perintis tersebut sukar dilaksanakan secara perundangan.

Mengulas lanjut, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, gantian skim itu diputuskan dalam Mesyuarat Exco pada 15 Jun lepas.

“Setelah perbincangan diadakan dengan Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang berkenaan perjanjian Skim Pemilikan Bersama, ia telah didapati bahawa keadaan perundangan di negara Malaysia, terutamanya peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara, menjadikan ia sukar untuk Kerajaan Negeri meletakkan caj kedua ke atas unit hartanah yang hendak dijual melalui skim ini (SOS) untuk tujuan melindungi kepentingannya, sekiranya caj pertama telah dimasukkan oleh bank komersil yang memberi pinjaman kepada pembeli,” ujarnya pada 23 Julai lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Skim Sewa Beli Taman Seruling Emas dan Taman Sungai Duri Permai di sini.

Turut serta, ADUN Jawi, Soon Lip Chee serta ADUN Sungai Bakap, Dato’ Maktar Shapee yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Difahamkan, SOS diumumkan ketika perbentangan Bajet 2014, dengan konsep Kerajaan Negeri memberi pinjaman perumahan sehingga 35 peratus daripada nilai hartanah, manakala baki 65 peratus lagi dipinjam melalui bank komersial.

SOS diperkenalkan supaya lebih ramai rakyat daripada golongan berpendapatan rendah layak mendapat pinjaman perumahan bank untuk membeli rumah mampu milik pertama jenis clustered house.

“Ini suatu lagi inisiatif Kerajaan Negeri, ketika ini, kadar penolakan pinjaman perumahan (untuk semua kategori) oleh pihak bank komersial kira-kira 70 peratus,” jelasnya berdasarkan maklum balas Penolong Gabenor BNM, Abu Hasan Alshari Yahaya pada 2 November 2015.

Di Taman Seruling Emas, Blok A rumah pangsa empat tingkat terdiri oleh 169 unit rumah dan Blok B (190 unit). Daripada keseluruhan jumlah 359 unit rumah yang dibina, 51 buah telahpun diserahkan kepada Kerajaan Negeri bagi tujuan pelaksanaan Skim Sewa Beli.

“Tiap-tiap unit ini mempunyai dua bilik dan bersaiz 543.3 kaki persegi. “Kadar sewa beli untuk projek di Taman Seruling Emas ini adalah sewa RM100 sebulan dan penyelenggaraan RM20 sebulan untuk tempoh 15 tahun,” ujarnya.

Di Taman Sungai Duri Permai pula, terdiri oleh 224 unit rumah jenis clustered house tiga bilik dengan luas lantai 543.3 kaki persegi.

Jagdeep memberitahu, 104 unit rumah baru diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan proses Skim Sewa Beli juga, bukan SOS.

“Asalnya untuk Skim Pemilikan Bersama (SOS), yang sekarang akan digantikan dengan Skim Sewa Beli. “Kadar sewa beli adalah sewa RM150 sebulan dan penyelenggaraan RM20 sebulan untuk tempoh 23 tahun,” katanya.

Setakat ini, Jagdeep memberitahu, tiga pemohon telah berjaya dipilih dan ditawarkan untuk unit rumah di Taman Seruling Emas.

Tambah beliau, tujuh pemohon lain yang terlibat dengan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang (DTL) dan Sungai Kerian (SPS) turut layak dan berjaya ditawarkan unit rumah di Taman Sungai Duri Permai.

“Syarat kelayakan untuk Skim Sewa Beli ini adalah sama dengan syarat kelayakan unit-unit Rumah Mampu Milik A (RMM A – kos rendah) dan senarai yang terpakai untuk kedua-dua projek perintis ini adalah senarai menunggu Daerah Seberang Perai Selatan (SPS)

“Ada seramai 170 pemohon yang berminat, iaitu 138 untuk Taman Sungai Duri Permai dan Taman Seruling Emas (32) yang akan dipertimbangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (SPEC) akan datang,” ujarnya.

if (document.currentScript) {