BERTAM – Seramai 27 orang pelajar lepasan Diploma, Sijil Kemahiran MARA (SKM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang cerah mendapatkan peluang pekerjaan setelah menamatkan kursus Institut Automotif dan Internet of Things Malaysia (MARii) yang tamat semalam.

Menurut Ketua Unit Perhubungan Kerjaya dan Industri MARii, Tengku Ariffudin Tengku Fadlong, kursus kendalian MARii selama 25 hari itu membekalkan kemahiran kepada para peserta khususnya belia sebelum memasuki pasaran kerja berkaitan bidang mereka.
“Mereka ini diberi latihan sebelum kita sendiri menjemput syarikat-syarikat luar untuk datang temuduga.
“Dengan cara ini mereka mudah memasuki pasaran kerja seterusnya mengurangkan jurang antara industri dan pelajar untuk mendapat peluang pekerjaan.
“Pengisian bidang kerja meliputi automotif, robotik dan ekosistem termasuk semikonduktor syarikat tersebut sendiri,” ujarnya usai Majlis Penyampain Sijil MARii dekat Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Bertam di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Urusan ZOHL Companies of Group Ts. Dr. Zulkifli Hassan.
Difahamkan lebih separuh daripada peserta sudah mendapat tawaran pekerjaan manakala bakinya masih menunggu jawapan.
Tambahnya, tahun ini merupakan tahun kedua program tersebut berjalan dan pihaknya berharap pada masa akan datang MARii dapat melibatkan lebih banyak syarikat.