Martabat wanita, antara lima teras khidmat DUN Batu Maung

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN & ADUN

BATU MAUNG – Sempena sambutan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim turut tidak ketinggalan meraikannya bersama-sama golongan Hawa sekitar Dewan Undangan Negerinya (DUN) di sini.

Bertemakan #JadikanKenyataan, Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengedarkan 300 kuntum bunga teluki (carnation) di sekitar Pasar Kampung Naran, Pasar Sungai Ara, Pasar Awam Bayan Baru dan Maybank cawangan Jalan Tengah.

Ketika ditemui, beliau berkata, pelbagai usaha berterusan diambil bagi mengiktiraf golongan wanita di sini, antaranya menjadikan agenda Memartabatkan Wanita sebagai sebahagian daripada Lima Teras Perkhidmatan DUN Batu Maung.

Sementara itu, turut meraikan sambutan hari istimewa berkaitan, ADUN Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu yang mengambil kesempatan mengedarkan 1,000 keping biskut tradisional masyarakat Cina dikenali ‘ Loh Por Peng’ kepada kaum wanita di sini.

Menurut Yee Cheu, pengedaran biskut itu mempunyai signifikannya tersendiri dan melambangkan kasih sayang.

Hari Wanita Sedunia disambut pada 8 Mac setiap tahun sejak tahun 1911. Walau bagaimanapun, di Malaysia, sambutan berkenaan mula diraikan semenjak 1962 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan, pengorbanan dan penglibatan golongan wanita kepada pembangunan negara.}