Masih banyak aset warisan negeri berpotensi diwarta sebagai warisan dunia – Exco

Admin

PERAI – Pulau Pinang mempunyai pelbagai lagi aset warisan yang berpotensi tinggi untuk untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dan Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin berkata sehingga kini Pulau Pinang hanya mempunyai dua tapak warisan yang disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu George Town dan Bukit Bendera sebagai tapak rizab biosfera.

“Contohnya Bukit Bendera yang merupakan ‘Hill Station’ yang tertua yang dibangunkan pada tahun 1788 oleh empayar British.

“Selain itu, Pulau Pinang juga terkenal di dunia dengan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara seperti ‘Chingay’, makanan warisan dan kebudayaan Baba Nyonya.

Yeoh Soon Hin.

“Malah, terdapat lebih 200 restoran nasi kandar di negeri ini yang mana sebahagian besarnya telah beroperasi lebih dari 100 tahun atau melangkaui tiga generasi.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa aset-aset yang ada ini sememangnya layak diiktiraf sebagai warisan dunia,” katanya ketika merasmikan Simposium Pencalonan Kampung Baru di Malaysia Sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO: The Second Glance – New Vision for New Village dekat sini pada 12 Ogos lalu.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Azhar Arsyad; Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rosli Nor; Presiden International Council on Monuments and Sites Malaysia (ICOMOS) Malaysia, Ar. Tiong Kian Boon serta Timbalan Presiden ICOMOS Malaysia, Faizal Abd. Rahman.

Soon Hin berkata, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk menjadi negeri Pulau Pinang contoh terbaik dari segi pemuliharaan warisan.

“Pewartaan Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 dan Peraturan-Peraturan Warisan Negeri Pulau Pinang 2016 merupakan antara contoh langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk mengangkat dan memulihara khazanah kebudayaan di negeri ini,” katanya lagi.

Mengulas mengenai usaha untuk mengangkat kampung-kampung baru di Malaysia sebagai Warisan Dunia ENESCO, Soon Hin berkata bahawa langkah itu adalah selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021-2030.

“Usaha ini berupaya menjadi salah satu produk pelancongan warisan budaya bagi kawasan Seberang Perai yang mana keseimbangan pembangunan yang lebih lestari di antara bahagian pulau dan Seberang Perai boleh dicapai,” ujarnya.

Dalam pada itu, Warisan merupakan antara aspek yang diberi penekanan di dalam Draf Rancangan Tempatan Seberang Perai 2030.

“Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), kami bukan sahaja komited untuk memulihara arisan kebudayaan dan warisan alam semula jadi tetapi lebih penting lagi adalah memberikan perkhidmatan dan pembangunan infrastruktur terbaik kepada warga tempatan.

“Justeru saya berharap, para profesional khususnya daripada ICOMOS dapat memberikan garis panduan yang jelas kepada PBT dan penduduk berkaitan pelan pengurusan dan garis panduan pembangunan kampung-kampung baru ini,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR