GEORGE TOWN – Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail masih optimis untuk menamatkan saingan Liga Super 2025/26 di kedudukan pertengahan liga walaupun tumpas 0-4 kepada JDT FC semalam.

Secara keseluruhan beliau masih positif dengan persembahan anak-anak buahnya yang turun menentang pasukan besar seprti JDT FC berbanding dua perlawanan Challenge Cup sebelum ini.

“Apa yang boleh cakap, keputusan malam ini masih positif bagi kami, persembahan baik kesungguhan yang baik tetapi kesilapan kecil membunuh kami pada malam ini.
“Tetapi tidak mengapa selagi pemain kami dapat belajar daripada kesilapan yang telah lalu saya harap benda yang ‘manis’ akan dapat kita rasai untuk perlawanan-perlawanan akan datang,” ujarnya kepada pemberita dalam satu sidang media di Stadium Bandaraya di sini semalam.
Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Azrul Mahathir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang FC, Jeffrey Chew Gim Eam.
Penang FC masih mempunyai baki tujuh perlawanan sebelum saingan liga melabuhkan tirai.
Dalam pada itu beliau mengakui skuadnya makin mengecil apabila dua pemain terpaksa diusung keluar iaitu Mohamad Ramdhan Ab. Hamid (penjaga gol) dan Eric Brendon (pemain tengah).
Sebelum ini beberapa pemain turut diketepikan akibat kecederaan seperti Tchetche Kipre, Akmal Rokisham dan Haziq Kutty.
“Namun saya bersyukur malam ini tidak ada pemain saya kena kad kuning, kerana ramai pemain-pemain saya yang boleh jalani penggantungan perlawanan sekiranya memungut satu lagi kad kuning,” katanya lagi.
Menyentuh mengenai Challenge Cup, Wan Rohaimi turut yakin pasukannya mampu layak ke perlawanan akhir.
Gambar: PENANG FC