Masyarakat perlu cakna isu alam sekitar sejagat

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

JURU – Masyarakat umum digesa agar cakna terhadap peningkatan paras air laut dunia yang berpunca daripada perubahan iklim dan secara tidak langsungnya memberi risiko ancaman buat pulau-pulau kecil yang wujud sebagai sebuah negeri sedang membangun.

Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 bertemakan ‘Tinggikan Suaramu, Bukan Aras Laut’, fokus tertumpu kepada pulau-pulau kecil berkaitan yang dilihat semakin terjejas ekoran pemanasan global, perubahan cuaca dunia dan peningkatan aras air laut.

Pengerusi Program Warga Hijau Pulau Pinang merangkap Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik berkata, perubahan iklim merupakan cabaran utama dan isu sejagat yang harus ditangani bersama.

“Pulau Pinang mempunyai kebanyakan ciri pulau kecil.

“Dengan berkeluasan 1,048 kilometer persegi (km2), Pulau Pinang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu kawasan pulau (293 km2) dan Seberang Perai (753 km2).

“Walaupun ianya tidak terpencil, Pulau Pinang masih terdedah kepada perubahan iklim, bencana alam sekitar dan risiko ancaman kerana dikelilingi laut,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2014 anjuran Penang Green Council (PGC) di sini baru-baru ini.

Menurut kajian, paras air laut akan meningkat ketara dengan anggaran daripada 0.5 meter hingga 2.3 meter abad ini. Malah, pulau – pulau kecil yang berketinggian rendah bakal ditenggelami sekiranya gelongsor ais menjadi lebur.

Wei Aik memberitahu, pulau-pulau kecil yang sedang membangun lazimnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

“Kepadatan penduduk secara tidak langsung akan memberi tekanan kepada sumber-sumber terhad dan penggunaan berlebihan,’’ jelas beliau.