MBPP anjur pertandingan cipta video pendek pupuk kesedaran sivik

Admin

GEORGE TOWN – Dalam usaha memupuk kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menganjurkan pertandingan Mencipta Video Pendek Kempen Kesedaran Sivik (CCC).

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, pertandingan bertemakan ‘Kempen Kesedaran Sivik’ adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas.

Tambah beliau lagi, video yang dihasilkan perlu mempunyai unsur-unsur sivik yang relevan dengan perkembangan semasa.

“Unsur-unsur vandalisme seperti merosakkan kemudahan awam, masalah pembuangan sampah di merata-rata, masalah lalu lintas, penyalahgunaan laluan khas basikal dan pejalan kaki, masalah tempat letak kereta dan isu-isu kesedaran sivik yang berkaitan juga boleh dimasukkan.

“Video yang dihasilkan haruslah berdurasi di antara 2 hingga 5 minit dan para peserta bebas menghasilkan video dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin ataupun Tamil tetapi perlu disertakan dengan sarikata dalam bahasa Malaysia atau Inggeris.

“Setiap video perlu mempunyai logo MBPP di akhir video dan kandungan video yang menyentuh sensitiviti kaum, agama, serta politik adalah tidak dibenarkan,” tegasnya.

Tambah Tung Seang, johan bagi pertandingan akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM3,000 beserta sijil manakala tempat kedua masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil.

“Peserta boleh menghantar penyertaan ke alamat e-mel [email protected] atau serah secara terus kepada Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP beserta pembikinan karya video asal dalam bentuk softcopy (DVD) dengan format Full HD 1920X1080, File MP4 Audio Stereo,” ujarnya lagi.

Difahamkan, tempoh pertandingan adalah bermula dari 14 November hingga 20 Disember dan borang penyertaan boleh didapati di laman sesawang www.mbpp.gov.my.

Untuk sebarang pertanyaan boleh hubungi MBPP di talian 04-2637000/2592167.

Teks & Gambar : YUSNINA MOHAMAD YUSOF