MBPP disaran perkukuh agenda bandar mesra warga emas

Admin
fc81896e e8f4 4cfd 901e 671c776f4b5b

GEORGE TOWN, – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) disaran memperluas kemudahan awam mesra warga emas, menjalankan audit berkala, menambah taman rekreasi inklusif serta menerapkan prinsip Reka Bentuk Sejagat (Universal Design) dalam pembangunan bandar.

2f7da340 7c78 4af6 b116 4414f131667e

Ahli Majlis MBPP, T. Visvenathan berkata, langkah itu penting bagi memastikan kemudahan bandar kekal selamat, selesa dan mudah diakses seiring peningkatan populasi warga emas di Pulau Pinang.

“Penduduk berusia 65 tahun ke atas merangkumi 8.5 peratus daripada jumlah penduduk negeri pada penghujung 2025, manakala Pulau Pinang dijangka memasuki fasa masyarakat menua menjelang 2040 berdasarkan unjuran Penang Institute.

“Peningkatan jangka hayat bukan sekadar cabaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), malah satu pencapaian.

“Namun, kita perlu memastikan bandar yang dibina hari ini terus selamat, mudah diakses dan selesa apabila kita sendiri menjadi warga emas kelak,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan penangguhan pada Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Perbandaran, Padang Kota di sini pagi tadi.

Beliau menyambut usaha MBPP yang menyertai WHO Global Network for Age-friendly Cities and Communities pada tahun 2023 serta memenuhi keperluan Cycle 1 WHO pada 2025 sebelum meneruskan pelaksanaan Cycle 2.

Bagi memperkukuh agenda berkenaan, beliau mencadangkan audit Bandar Mesra Usia dilaksanakan secara berkala di setiap zon Ahli Majlis, di samping memperluas Taman Mesra Warga Emas dan menyediakan peluang pekerjaan fleksibel kepada warga emas yang masih berkemampuan.

“Saya juga menyarankan penubuhan Majlis Perundingan Warga Emas MBPP sebagai platform mendapatkan pandangan golongan berkenaan mengenai dasar, kemudahan awam dan pembangunan bandar.

“Bandar Mesra Warga Emas bukan hanya memberi manfaat kepada golongan tersebut, malah turut membantu kanak-kanak, ibu bapa yang membawa kereta bayi, golongan kelainan upaya (OKU) dan seluruh masyarakat.

“Matlamat kita bukan sekadar membina bandar mesra warga emas, tetapi bandar yang inklusif dan selesa untuk semua generasi,” katanya.

Gambar : MBPP