GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan pemaju melaksanakan kerja-kerja mitigasi bagi meningkatkan tahap keselamatan di tapak pembinaan susulan kejadian tanah runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong, semalam.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, arahan henti kerja turut dikeluarkan kepada pemaju berikutan kejadian tersebut.
Beliau berkata, tindakan segera turut diambil dengan mengalihkan aliran air daripada paip di lokasi kejadian ke kawasan lebih selamat bagi mengurangkan risiko air terus mengalir ke cerun yang terjejas.
“Pemeriksaan awal mendapati cerun berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan selepas hujan berhenti dan aliran air dialihkan.
“Walau bagaimanapun, pemantauan rapi masih diteruskan berikutan hujan berterusan berpotensi melemahkan struktur tanah di sekitarnya.
“Selepas kejadian tanah runtuh, terdapat pergerakan tanah, namun, selepas hujan berhenti dan aliran air dialihkan, tiada tanda-tanda yang menunjukkan cerun itu akan runtuh lagi.
“Kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan insiden sama tidak berulang,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaraya Padang Kota di sini, pagi tadi.
Tambahnya, kejadian itu akan disiasat oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), dengan kemungkinan penglibatan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) yang mana MBPP juga akan terus memantau dan menjalankan pemeriksaan di tapak berkenaan.
Mengulas dakwaan penduduk bahawa aduan berkaitan cerun itu pernah dikemukakan kepada pihak Majlis, beliau berkata bahawa MBPP mempunyai kumpulan WhatsApp bersama penduduk bagi membolehkan aduan berkaitan tapak pembinaan disalurkan dan tindakan segera diambil.
Jelasnya, aduan yang diterima turut disampaikan kepada pemaju untuk tindakan lanjut, termasuk meningkatkan aspek keselamatan dan memastikan kerja-kerja di tapak dijalankan dengan sewajarnya.
Sebelum itu, beliau memaklumkan bahawa MBPP telah mengeluarkan peringatan kepada kontraktor dan pemaju sejak September lalu supaya meningkatkan langkah keselamatan, dengan mengambil kira keadaan cuaca pada Oktober yang lazimnya menyaksikan hujan berterusan semasa tempoh peralihan monsun.
“Pemeriksaan tapak juga dilaksanakan oleh jurutera jabatan bersama-sama perunding bagi menilai keadaan cerun dan memastikan langkah keselamatan sewajarnya diambil,” katanya.
Beliau berkata, punca sebenar kejadian di Taman Seri Rambai masih belum dapat dipastikan dan perlu menunggu hasil siasatan pihak berkuasa berkaitan.
“Mengenai tempoh siasatan, saya menjangkakan proses itu mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan, bergantung pada keadaan dan keperluan siasatan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, difahamkan penempatan sementara penduduk dari enam buah rumah berhampiran kawasan terjejas sedang diuruskan oleh Pejabat Tanah. Keputusan mengenai tempoh mereka dibenarkan pulang akan ditentukan berdasarkan hasil penilaian keselamatan dan perbincangan dengan pihak yang menjalankan siasatan.
Dalam perkembangan lain, Rajendran memberitahu bahawa kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah yang turut dilaporkan berlaku semalam melibatkan cerun sedia ada yang mengalami kerosakan dan tidak berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan.
Gambar: MBPP