GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melancarkan Anugerah Sekolah Hijau Tahun 2025 sebagai sebahagian daripada usaha menyokong pendidikan alam sekitar, sejajar dengan matlamat pembangunan mampan dan Visi Penang2030.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata Anugerah Sekolah Hijau bukan sekadar pertandingan, sebaliknya merupakan platform penting dalam usaha membudayakan kelestarian alam sekitar.
“Bagi tahun 2025, saya difahamkan bahawa sebanyak 20 buah sekolah telah mendaftar setakat ini yang melibatkan lima sekolah menengah dan 15 sekolah rendah.
“Namun begitu, pendaftaran masih dibuka sehingga 31 Julai 2025 dan saya menyeru pihak sekolah mengambil bahagian dalam program ini supaya kita dapat mengatasi bilangan penyertaan pada tahun lepas yang mencatatkan 52 buah sekolah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran dan Taklimah Anugerah Sekolah Hijau Tahun 2025 Peringkat Pulau dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Rajendran berkata, walaupun tiada penganjuran Anugerah Sekolah Hijau pada peringkat negeri tahun ini, namun MBPP tetap komited meneruskan inisiatif tersebut bagi memastikan semangat menjaga alam sekitar terus hidu dalam kalangan warga sekolah.
“Pada tahun ini, Penang Green Council (PGC) tidak akan menganjurkan pertandinga pada peringkat negeri kerana mereka sedang meneliti dan merangka prosedur baharu bagi Anugerah Sekolah Hijau Peringkat Negeri Pulau Pinang Tahun 2026.
“Taklimat berkaitan perubahan ini akan disampaikan oleh wakil PGC sejurus selepas majlis perasmian hari ini,” katanya.


Mengulas lanjut, Rajendran memberitahu bahawa MBPP turut memperkenakan satu lagi kategori penting iaitu Pengumpulan Minyak Masak Terpakai antara sekolah-sekolah.
“Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran air longkang, malah menggalakkan amalan kitar semula bahan buangan domestik dalam kalangan pelajar dan komuniti.
“Ini merupakan satu contoh terbaik bagaimana pendidikan alam sekitar bolrh diterjemahkan dalam bentuk tindakan yang praktikal dan berdampak tinggi.
“Justeru, saya berharap semua sekolah dapat mengambil bahagian secara aktif dalam acara ini,” katanya.
Rajendran berkata, penialaian bagi Anugerah Sekolah Hijau pada tahun ini dijalankan berdasarkan kepada lima kriteria utama iaitu Kecekapan Sumber Asli yang merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan markah, diikuti Kebersihan dan Penghijauan (18 peratus); Penglibatan Komuniti (16 peratus); Inovasi dan Kreativiti (14 peratus) serta Persembahan Pelajar (12 Peratus).
“Panel penilai pula terdiri daripada pegawai pelbagai jabatan MBPP serta Persatuan Pencinta Alam Malaysia atau dikenali sebagai Malaysian Nature Society.
“Sekolah-sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang akan menerima hadiah wang tunia serta sijil penghargaan mengikut kategori masing-masing,” katanya.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah barisan Ahli Majlis MBPP; Penolong Pengarah Unit Pembangunan Bakat Murid (Kokurikulum) Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Chen Thean Hock; Timbalan Sektor Pembangunan Murid Pejabat Pendidikan Daerah Brat Daya, Mazlan Che Mat; Timbalan Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Timur laut, Rashidah S.K. Abdul kader; Ketua Bahagian Environmental Education & Outreach PGC, Siti Najihah Che Saad; Pegawai Environmental Education & Outreach PGC, Farah Hanim Mohd. Sharif serta Penasihat Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Kandar Kumar.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD