GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melupuskan sebanyak 32,599 ekor burung gagak dan merpati menerusi operasi kawalan populasi yang dilaksanakan di seluruh kawasan pulau sehingga Oktober 2026.
Ahli Majlis bagi MBPP, Darren Lee Seng Wai berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,944 ekor merupakan burung gagak manakala 14,655 ekor lagi ialah burung merpati.
“Operasi kawalan populasi berkenaan dilaksanakan setiap hari, manakala operasi menembak dijalankan sebanyak empat kali sebulan secara berkala di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan atau hotspot.
“Sebanyak 36 kawasan hotspot telah dikenal pasti di seluruh kawasan pulau berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Seng Wai berkata, pelaksanaan operasi berkenaan adalah berdasarkan pemantauan semasa serta keperluan kawalan populasi burung di kawasan terlibat.
“MBPP turut memberi penekanan kepada langkah pencegahan dan penguatkuasaan bagi menangani faktor yang menyumbang kepada peningkatan populasi burung berkenaan.
“Antara langkah yang dilaksanakan termasuk mempergiatkan penguatkuasaan terhadap individu yang sengaja membuang atau meninggalkan sisa makanan di tempat awam bagi tujuan memberi makan kepada burung,” jelasnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran MBPP.
Selain itu, Seng Wai turut memaklumkan bahawa kempen kesedaran awam turut dilaksanakan bagi menggalakkan orang ramai supaya tidak memberi makanan kepada burung gagak dan merpati.
“MBPP juga meningkatkan pemantauan di kawasan hotspot serta menggalakkan pengurusan sisa makanan dan kebersihan persekitaran yang lebih efisien bagi mengurangkan sumber makanan burung.
“Selain itu, pemasangan alat penghalau burung (bird repellent) di bangunan MBPP turut dilaksanakan bagi mengurangkan kehadiran burung merpati daripada berteduh, hinggap dan bersarang,” tambahnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL