GEORGE TOWN – Aspek keselamatan dan kebajikan kanak-kanak serta kualiti pendidikan perlu terus menjadi keutamaan pengusaha institusi pendidikan swasta bagi memastikan generasi muda mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat dan berkualiti.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, institusi pendidikan swasta termasuk tadika dan pusat asuhan kanak-kanak memainkan peranan penting dalam melengkapkan sistem pendidikan sedia ada, selain membantu membentuk sahsiah dan potensi generasi muda.

Menurut beliau, pendidikan bukan sekadar satu perniagaan, sebaliknya turut melibatkan amanah serta tanggungjawab sosial terhadap masyarakat.
“Setiap kanak-kanak berhak mendapat persekitaran pembelajaran yang selamat, berkualiti dan penyayang.
“Oleh itu, saya berharap kebajikan serta keselamatan kanak-kanak, kualiti pendidikan dan profesionalisme tenaga pendidik akan terus menjadi keutamaan.
“Kerjasama antara kerajaan, jabatan berkaitan dan pengusaha institusi pendidikan penting untuk memastikan kanak-kanak dapat membesar dalam persekitaran yang positif dan selamat,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Pelantikan Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Institusi Pendidikan Pulau Pinang (PPIPP) bagi sesi 2026 hingga 2028 di sini pada 17 November 2026.
Hadir sama, Presiden PPIPP, Dato’ Dr. Lim Beng Suat; Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Swasta Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Mohd. Ahyat Abdul Ghani @Mat Saad serta tetamu kehormat lain.
Dalam perkembangan berkaitan, Siew Khim turut menghargai peranan PPIPP sebagai platform yang menyatukan pengusaha institusi pendidikan di Pulau Pinang serta menjadi penghubung antara kerajaan dengan komuniti pendidikan.
“Dalam pada itu, saya berharap PPIPP terus memperkukuh profesionalisme industri, menyuarakan kepentingan ahli dan menyumbangkan idea yang membawa manfaat kepada masyarakat.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengingatkan barisan jawatankuasa yang baharu dilantik bahawa kepimpinan bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah dan tanggungjawab untuk berkhidmat serta membawa perubahan positif kepada persatuan,” jelasnya.

Sementara itu, Beng Suat memaklumkan bahawa PPIPP perlu terus berpegang kepada tiga prinsip utama, iaitu perpaduan, profesionalisme dan tanggungjawab bagi memperkukuh kedudukan sektor pendidikan swasta di Pulau Pinang.
“Pengusaha institusi pendidikan bukan sahaja bertanggungjawab menguruskan pusat pendidikan dan menyediakan perkhidmatan pembelajaran, malah memainkan peranan penting dalam membentuk minda generasi muda serta mencungkil potensi kanak-kanak.
“Justeru, diharapkan PPIPP akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan kerajaan dan rakan pendidikan, selain memainkan peranan positif kepada masyarakat,” katanya.
Menyentuh mengenai kepimpinan baharu, Beng Suat turut menegaskan bahawa setiap ahli jawatankuasa perlu mempunyai visi, komitmen dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab serta membawa perubahan bermakna kepada persatuan.
Beliau berharap kerjasama semua pihak dapat membantu membina komuniti pendidikan yang lebih kukuh, bersatu padu dan dihormati di Pulau Pinang.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI