MBPP & MBSP diarah selenggara parit secara berkala elak banjir kilat – Exco

Admin

DATUK KERAMAT – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) masing-masingnya telah diarah untuk melakukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan berkala bagi mengatasi masalah banjir kilat di Pulau Pinang.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, ia antara tindakan yang dijalankan Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan untuk membendung insiden banjir daripada berlaku.

“Secara khususnya, kira-kira 4,991 kakitangan MBPP dan MBSP turun ke lapangan setiap hari melibatkan pelbagai tugasan seperti pembersihan parit, jalan dan kawasan sekitar.

“Seperti yang semua ketahui kita mengalami musim kemarau panjang sebelum ini, parit dan longkang mungkin tersumbat disebabkan tiada aliran air dalam tempoh yang lama… memandangkan kini telah tiba musim hujan, justeru saya telah mengarahkan kedua-dua PBT untuk memastikan jadual pembersihan dan penyelenggaraan dibuat secara berkala.

“Pemeriksaan rapi perlu dilakukan untuk memastikan semua parit dan longkang besar tidak tersumbat kerana kita tidak mahu insiden banjir berlaku terutamanya di kawasan Datuk Keramat yang sememangnya merupakan kawasan kerap berlaku banjir,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Hadir sama, Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Pembantu Kesihatan Awam Kanan, Khoo Eng Chong.

Menurut Jagdeep, daripada 1,900 petugas di MBPP, 869 daripadanya adalah ‘wira kuning’ yang menjalankan kerja-kerja pembersihan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang tidak jemu bertungkus-lumus melakukan kerja pembersihan.

“Di Pulau Pinang yang menjadi objektif utama kita adalah keselamatan awam dan kesihatan, itu terpakai juga kepada wira kuning… kekal selamat ketika menjalankan tugas anda,” ujarnya.

Jagdeep bersama-sama Rayer sebelum itu, meluangkan masa menyerahkan 400 pek barangan keperluan asas kepada ibu-ibu tunggal di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan pagi tadi.

Lebih istimewanya, golongan ibu berkenaan turut menerima kuntuman bunga mawar sebagai penghargaan bersempena Hari Ibu pada hari ini.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADUN