MBPP perkenalkan lesen kiosk sementara bagi kompleks membeli-belah mulai 1 September ini

GEORGE TOWN – Lesen kiosk perniagaan akan diperkenalkan mulai 1 September ini.

Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, pelaksanaan lesen tersebut terarah kepada kesemua kiosk-kiosk sementara yang beroperasi di dalam komplek membeli-belah di dalam kawasan pulau.

Jawatankuasa telah sebulat suara meluluskan cadangan pelaksanaan ini di mana ianya termaktub di dalam Undang-Undang Kecil.

Untuk memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar, kita (MBPP) telah mengutus surat kepada semua pihak pengurusan agar kiosk-kiosk pameran dan jualan di dalam pentadbiran mereka mematuhi arahan ini.

Dalam pada masa sama, terdapat juga pegawai-pegawai MBPP akan turut padang untuk memantau dan memberikan nasihat kepada pemilik-pemilik (kiosk) untuk segera mendapatkan lesen perniagaan sah,” ujarnya pada sidang media ringkas selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis (MBM), di sini pagi ini.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengarah Jabatan Pelesenan MBPP, Azman Sirun.

Menurut Azman, berdasarkan bancian yang dijalankan jabatannya terdapat kira-kira 780 kiosk yang beroperasi di seluruh bahagian pulau.

Bagi kiosk-kiosk ini, Majlis telah menetapkan yuran RM120 setahun untuk kiosk berkeluasan 10 meter (m) ke bawah dan RM240 setahun yang melebihi 10m,” jelas beliau.