MBPP sasar kutipan cukai taksiran RM263 juta pada 2026

Admin
photo 6086867900489732685 y

GEORGE TOWN: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan kutipan hasil cukai taksiran sebanyak RM263 juta bagi tahun 2026.

Malah, sebanyak RM117 juta atau 44 peratus daripada sasaran tersebut berjaya dikutip sehingga bulan lalu.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, susulan pencapaian tersebut, seramai 57,934 pembayar cukai berjaya disenarai pendek untuk menyertai Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2026.

“Program cabutan bertuah ini dianjurkan khas sebagai tanda penghargaan kepada pembayar cukai taksiran yang telah menjelaskan bayaran dalam tempoh ditetapkan.

“Inisiatif ini juga merupakan salah satu usaha MBPP untuk menggalakkan budaya pembayaran cukai secara konsisten dan tepat pada masanya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Cabutan Bertuah Cukai Taksiran 2026 di Dewan Bandaran, Jalan Padang Kota Lama, di sini, hari ini.

Katanya, program Cabutan Bertuah Cukai Taksiran merupakan acara tahunan MBPP yang diperkenalkan sejak 2014 dan diteruskan sehingga kini sebagai penghargaan kepada pembayar cukai di Pulau Pinang.

“Bagi melayakkan diri untuk disenarai pendek dalam acara berkenaan, pembayar cukai perlu menjelaskan bayaran sebelum 28 Februari lalu.

“Selain itu, mereka juga perlu bebas daripada tunggakan cukai serta melanggan sistem e-bil.

“Daripada jumlah yang disenarai pendek itu, seramai 95 pemenang dipilih untuk menerima pelbagai hadiah menarik dengan nilai keseluruhan RM35,500,” katanya.

Beliau berharap inisiatif tersebut dapat memberi galakan kepada pembayar cukai yang belum berjaya agar terus memberikan kerjasama dengan menjelaskan cukai taksiran mengikut tempoh yang ditetapkan.

Terdahulu, beliau menyaksikan proses pemilihan secara rambang melibatkan 95 individu dan organisasi daripada senarai pembayar cukai yang layak untuk memenangi pelbagai hadiah dalam cabutan bertuah berkenaan.

Antara hadiah yang ditawarkan termasuk sebuah motosikal elektrik berjenma Yadea Velax sebagai hadiah utama selain jongkong emas (gold bar), air wheel luggage, basikal elektrik, komputer riba, kamera DJI Osmo serta pelbagai peralatan elektronik lain.

Selain itu, sebanyak 85 hadiah e-dompet (e-wallet) menerusi aplikasi Pearl One Touch Penang bernilai antara RM100 hingga RM300 turut disediakan kepada para pemenang.

Teks & Gambar: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN