MBPP sedia ambil alih penyelenggaraan jalan perumahan mulai 2028

Admin
1d66d038 5015 483c 9f8a f746dab067a2
PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang membuat persiapan dari segi kemudahan dan keperluan lain sebelum mengambil alih penyelenggaraan jalan-jalan taman perumahan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) bermula 1 Januari 2028.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata, persiapan tersebut melibatkan penyediaan jentera, lot tanah untuk depoh, tenaga kerja serta keperluan tambahan lain.
“MBPP yakin dapat menggalas tanggungjawab ini dengan lebih berkesan dan efisien berdasarkan pengalaman pengurusan semasa di seluruh George Town.
“Kita juga perlu mendapatkan jentera tambahan, dana peruntukan tambahan melalui MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia) atau Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan paling penting adalah sokongan orang ramai untuk melaporkan aduan jika terdapat kerosakan.
“Melalui pengambilalihan ini, MBPP akan menyelenggara 600 kilometer jalan taman, tambahan kepada lebih 300 kilometer yang diselenggara sekarang dan dijangka melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM46 juta,” ujarnya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media sejurus selesai Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 11 Tahun 2025 di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.
Ketika ini, jelas Rajendran, antara aspek lain yang diselenggara oleh MBPP termasuk parit, lampu isyarat dan papan tanda jalan.
whatsapp image 2025 11 21 at 11.47.40 am
“Buat masa ini, MBPP menyelenggara jalan di seluruh George Town, manakala JKR menyelenggara jalan-jalan protokol dan jalan negeri,” katanya.
a49368f2 37f9 4476 b364 8847184fe1b6
Dalam perkembangan lain, MBPP turut meluluskan cadangan penambahbaikan zon khas motosikal dan basikal di persimpangan lampu isyarat dengan menyeragamkan reka bentuk mengikut spesifikasi JKR.
Penyeragaman ini akan melibatkan 66 persimpangan utama di seluruh pulau.
Oleh: WATAWA NATAF ZUKLIFLI
Gambar: LAW SUUN TING