GEORGE TOWN – Sebanyak 208 gerai di 40 lokasi milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditawarkan menerusi sesi temuduga terbuka penyewaan gerai Bilangan 3/2026, dengan permohonan dibuka secara dalam talian mulai esok, 20 Ogos hingga 14 September 2026.
Ahli Majlis merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja Tetap Kesihatan Awam MBPP, Tan Soo Siang berkata, tawaran berkenaan melibatkan gerai di pasar, kompleks makanan serta Tapak Penjaja Sementara (TPS) dan Penjaja Statik Sementara (PSS) di sekitar kawasan pentadbiran MBPP.
Menurut beliau, sesi temuduga terbuka akan berlangsung secara dalam talian pada 18 September 2026 (Jumaat).
“Permohonan boleh dibuat menerusi sistem e-Lesen MBPP di portal rasmi ulesen.mbpp.gov.my.
“Pemohon yang menghadapi kesukaran mendaftar secara dalam talian boleh hadir secara terus (walk-in) atau menghubungi Jabatan Pelesenan MBPP di talian 04-263 8818 sambungan 215/218/219.

“Pemohon yang gagal mengemukakan permohonan dalam tempoh ditetapkan tidak layak menyertai sesi temuduga terbuka ini,” ujarnya pada sidang media di Dewan Bandaran, hari ini.
Hadir sama, beberapa Ahli Majlis lain antaranya Chan Soon Aun; Alan Lim Wei Lun; Zuraida Mohamad Arshad; Rohaizat Hamid; Muhamad Khairul Mohd. Ali; Koay Gaik Kee dan S. S. Manimaran serta wakil daripada Jabatan Pelesenan dan Kesihatan Awam MBPP.

Mengulas mengenai sesi temuduga, Soo Siang menasihatkan pemohon supaya memastikan capaian internet stabil, berada di lokasi yang sesuai, berpakaian kemas serta log masuk lebih awal bagi memastikan kelancaran sesi temuduga.
“Pemohon juga dilarang memandu kenderaan ketika sesi temuduga berlangsung dan panel berhak menghentikan sesi sekiranya perkara tersebut berlaku,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada sesi temuduga terbuka Bilangan 2/2026 yang diadakan pada Jun lalu, MBPP menerima 341 permohonan dengan 52 pemohon berjaya ditawarkan gerai.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa MBPP berjaya menguruskan penempatan semula 32 penjaja sedia ada di sekitar Jalan Permatang Tiram bagi memberi laluan kepada projek LRT Laluan Mutiara dan pembinaan jalan.
“Berhubung isu kadar sewaan yang dibangkitkan oleh penjaja terbabit pula, ia akan dibangkitkan dalam mesyuarat jawatankuasa untuk dibincangkan semula sebelum hujung bulan ini,” jelasnya.
Teks & Gambar: R. SARBEYSHWARAN