MBSP anjur acara tembak gagak, libatkan orang awam

Admin
SUASANA semasa berlangsungnya Mesyuarat Majlis Penuh di Menara Bandaraya MBSP di sini pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Orang awam yang mempunyai lesen senjata api sah dialu-alukan untuk menyertai acara menembak gagak, anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

AZHAR Arshad

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad memberitahu bahawa kawasan tumpuan ‘Ops Crow Sharpshooter 2022’ itu meliputi Daerah Seberang Perai Tengah yang akan diadakan pada 13 Ogos 2022; Daerah Seberang Perai Utara (24 September 2022) dan Daerah Seberang Perai Selatan (15 Oktober 2022).

“Pemilihan lokasi-lokasi ini adalah berdasarkan aduan yang diterima oleh jabatan (dalaman MBSP),” jelasnya semasa Mesyuarat Majlis Penuh MBSP di Menara Bandaraya di sini pada 21 Jun 2022.

Di samping itu, beliau turut menasihatkan seluruh komuniti supaya terus mengamalkan sikap menjaga kebersihan seperti membuang sampah dalam tong sampah bertutup demi mengurangkan populasi gagak di kawasan kediaman penduduk masing-masing.

“Tidak dapat dinafikan bahawa kewujudan burung gagak berkait rapat dengan isu kebersihan,” jelasnya lagi.

Difahamkan, acara menembak gagal dengan melibatkan orang awam merupakan buat julung-julung kali dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD