MBSP anjur anugerah iktiraf pengurusan strata cemerlang 21 September ini

Admin
33fda9f2 be43 4b01 a493 327f6472f262

SEBERANG JAYA – Jabatan Pesuruhajaya Bangunan (COB) Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengadakan Majlis Anugerah Apresiasi Strata Seberang Perai 2024 (APRESS 2024) pada 21 September ini dekat Auditorium Menara Bandaraya MBSP di sini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad berkata, tujuan penganjuran majlis tersebut antara lain adalah untuk mengiktiraf prestasi cemerlang pengurusan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) serta pemilik petak komuniti berstrata di Seberang Perai.

“Majlis ini juga dianjurkan sempena sambutan Hari Majlis Bandaraya Seberang Perai bagi tahun 2024,” jelasnya semasa berucap dalam Mesyuarat Majlis Penuh Ke-597 (Bil.3/2024) di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 26 Mac 2024.

Mengulas lanjut, Azhar memberitahu bahawa tempoh penilaian dan pemarkahan yang akan dilaksanakan oleh MBSP adalah bermula pada bulan Mac hingga Ogos 2024.

“Penyertaan adalah daripada keseluruhan JMB dan MC bagi bilangan 11 petak ke atas bagi kategori kos sederhana rendah dan kos rendah dalam pembangunan dan pengurusan strata di bawah pentadbiran MBSP,” jelasnya lagi.

Bagi kategori kos rendah dan kos sederhana rendah, hadiah anugerah tempat pertama masing-masing adalah wang tunai 3,000; tempat kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Cenderahati berupa tunai RM150 dan plak turut diberikan kepada pemenang, terhad pada enam unit petak komuniti berstrata.

Sebarang pertanyaan berkaitan program ini, hubungi COB di talian 04-549 7789 atau 787.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR