SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) akan melaksanakan Program Kuiz Online Celik Strata Sempena sambutan Hari Bandaraya keenam pada tahun ini.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata penganjuran program itu adalah bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat terhadap pengurusan strata, khususnya dalam kalangan pemilik, penghuni serta pihak yang terlibat secara langsung dengan skim perumahan berstrata di bawah pentadbiran MBSP.
“Kuiz ini akan dilaksanakan secara dalam talian (online) menggunakan platform Google Form bermula 24 Oktober hingga 26 Oktober 2025.
“Paparan visual berkaitan program ini pula akan disiarkan mulai 21 Oktober hingga 23 Oktober 2025 untuk panduan serta rujukan bagi memudahkan para peserta menjawab kuiz.
“Penyertaan adalah terbuka kepada pemilik, penghuni, ahli jawatankuasa Perbadanan Perbadanan pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) yang berminat,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Penuh Kali ke-616 Bil. 10/2025 dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini pagi tadi.
Baderul Amin berkata, MBSP menawarkan hadiah berupa wang tunai dan sijil penyertaan kepada pemenang tempat pertama, kedua dan empat pemenang saguhati.
“Pemenang tempat pertama akan menerima wang tunai berjumlah RM400, manakal tempat kedua akan menerima RM300.
“Seramai empat pemenang saguhati akan dipilih yang mana masing-masing akan menerima wang tunai berjumlah RM150 setiap seorang.
“Penyampaian hadiah akan diadakan dalam Program Celik Strata 2025 iaitu pada 15 November 2025,” ujarnya.
Sebarang pertanyaan berkaitan program boleh hubungi Jabatan Pesuruhjaya Bangunan di talian 04-549 7789 / 787.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS