MBSP anjur pertandingan kumpul e-sisa, pastikan sisa elektronik dilupus secara sistematik

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganjurkan pertandingan mengumpul barangan elektrik dan elektronik terpakai (e-sisa) dalam usaha memastikan sisa berkenaan dilupus dengan betul dan secara lebih sistematik.

Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid berkata pertandingan yang berlangsung pada 1 Januari sehingga 30 Oktober 2022 itu bakal menawarkan hadiah utama berjumlah RM500.

Baderul Amin Abdul Hamid bersama-sama Ahli Majlis bagi MBSP dan wakil syarikat penaja menyempurnakan gimik pelancara Pertandingan Pengumpulan Barangan Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022

“Hadiah turut disediakan kepada naib johan berjumlah RM300, tempat ketiga (RM200) serta dua hadiah saguhati masing-masing bernilai RM100.

“Selain itu, hadiah bulanan sebanyak RM200 juga akan diberikan kepada pemenang yang mengumpul sisa terbanyak setiap bulan selama 10 bulan yang ditaja oleh Syarikat Cycle Trend Sdn. Bhd.

“Setakat ini, sebanyak 19 pusat kitar semula telah berdaftar untuk mengambil bahagian dalam pertandingan ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pertandingan Pengumpulan Barangan Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022 dekat Menara MBSP di sini pada 31 Mac lalu.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP serta ketua-ketua jabatan MBSP serta wakil syarikat penaja.

Mengulas lanjut, Baderul Amin berkata bahawa e-sisa merupakan sisa yang paling cepat meningkat berbanding sisa lain kerana kebergantungan manusia kepada peralatan elektrik dan elektronik kini sangat tinggi.

“Pengurusan e-sisa dan sisa berbahaya muncul sebagai cabaran baru bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) dari segi pengumpulan dan pelupusan.

Wakil syarikat penaja menyerahkan gegantung untuk di pasang di pusat kitar semula yang mengambil bahagian.

“Justeru, MBSP anjurkan pertandingan ini dengan matlamat untuk menggalakkan pusat kitar semula komuniti turut mengambil bahagian dalam mengumpul barangan elektrik dan elektronik terpakai isi rumah.

“Melalui pertandingan ini, pihak penganjur pusat kitar semula perlu mengumpul dan menjual barangan elektrik dan elektronik terpakai syarikat yang diberi lesen oleh Jabatan Alam Sekitar.

“Buangan e-sisa isi rumah yang dikumpul akan ditimbang, dijual dan dilupus oleh syarikat yang berkenaan,” ujarnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS