MBSP anjur program Sejahtera Peniaga sempena Hari Bandaraya

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menganjurkan program Sejahtera Peniaga sempena sambutan Hari Bandaraya pada tahun ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata bahawa penganjuran program berkenaan adalah untuk membantu perniaga serta penduduk Seberang Perai yang mahu memulakan perniagaan.

Beliau berkata, program tersebut bermula pada 17 September dan akan berakhir pada 31 Disember 2021.

“MBSP sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) amat prihatin terhadap rintihan dan masalah yang membelenggu peniaga, pengusaha sedia ada termasuk warga Seberang Perai yang ingin memulakan perniagaan.

“Oleh itu, kita menganjurkan program ini bagi memudahkan peniaga mendapatkan kelulusan terhadap bangunan, permit perniagaan sementara, lesen perniagaan, nombor patil serta pengurusan sampah yang teratur,” katanya pada sidang media selepas sambutan Hari Bandaraya 2021 dekat Menaraya Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Sing Deo; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Pemangku Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta Ketua-ketua Jabatan MBSP.

Tambah Rozali, program Sejahtera Peniaga menyasarkan peniaga-peniaga di kawasan Seberang Perai yang menjalankan perniagaan tanpa kelulusan MBSP terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana rendah (M40).

Katanya, melalui program tersebut peniaga hanya perlu mengemukakan permohonan menggunakan borang yang disediakan bersama dengan dokumen sokongan yang diperlukan.

“Konsep program ini adalah untuk memudahkan proses permohonan bagi pelan permit sementara bangunan perniagaan berskala kecil serta permohonan lesen perniagaan secara dalam talian.

“Oleh itu, pemohon yang berjaya mendapatkan kelulusan permit bangunan sementara akan diberikan lesen perniagaan, nombor patil (alamat) premis serta kutipan sisa akan dibuat secara berkala.

“Walau bagaimanapun pemohon perlu membuat pengisian kepada borang-borang yang disediakan dan memohon lesen perniagaan secara dalam talian (Sistem Pengurusan Lesen Interakatif & Bersepadu) di https://speedbiz.mbsp.gov.my atau menggunakan kod QR yang disediakan,” jelasnya lagi.

Mengulas lanjut, Rozali memaklumkan bahawa bagi pengurusan sampah yang lebih teratur, pemohon akan dihubungi oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP untuk penyelarasan kutipan sampah menggunakan kaedah sistem i-Collect MBSP atau kaedah pelupusan secara kendiri.

“Namun begitu, kebolehcapaian kaedah sistem i-Collect ini adalah bergantung kepada akses laluan yang mudah oleh MBSP ke tapak perniagaan pemohon,” ujarnya.

Rozali berkata, mereka yang berminat untuk menyertai program tersebut hanya perlu mengisi beberapa maklumat mudah secara dalam talian mengggunakan Google Form.

“Pemohon akan dihubungi mengikut jadual pendaftaran oleh Pegawai MBSP untuk konsultansi atau penyerahan borang, namun tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Borang permohonan boleh dimuat turun melalui laman sesawang MBSP atau menggunakan kod QR yang disediakan dan pemohon perlu menyerahkan borang lengkap melalui janji temu sahaja di Kaunter 21 MBSP Bandar Perda.

“Borang juga boleh dihantar secara Dropbox Jabatan Bangunan di Lobi Menara MBSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam atau secara email ke [email protected],” jelasnya lagi.

Untuk mengetahui mengenai syarat-syarat permohonan serta maklumat lanjut berkaitan program tersebut sila layari www.mbsp.gov.my.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP