Fadhlina Sidek hasrat bawa isu keganasan rumah tangga, akta anti gangguan seksual ke Dewan Negara

GEORGE TOWN – Mengambil kira pelbagai cabaran yang dihadapi penduduk negeri Pulau Pinang semasa pandemik COVID-19, Senator Fadhlina Sidek yang baru dilantik berkuatkuasa 1 September lalu berhasrat mengenengahkan empat isu utama Pulau Pinang termasuk berkaitan keganasan rumah tangga ke Dewan Negara.

 

Tiga isu lain, menurut beliau, adalah  penglibatan wanita dalam politik melalui dasar keterangkuman gender, akta anti gangguan seksual serta hak ibu mendapatkan kerakyatan sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.


“Kesan daripada pandemic COVID-19 ini,  juga memberi kesan kepada kes-kes keganasan rumah tangga, jadi penting perkara ini untuk diketengahkan.

 

“Baru-baru ini Perdana Menteri turut suarakan mengenai ‘Keluarga Malaysia’ jadi dalam isntitusi keluarga besar itu kita mahu lihat hak wanita dipertahankan, semua ahli keluarga berhak mendapat pelindungan selamat di kediaman masing-masing selaras dengan slogan berteraskan keluarga,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Exco Pembangunan Sosial dan hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng di sini pada hari ini.

Fadhlina dalam pada itu memuji usaha Chong Eng memartabatkan keterangkuman gender serta mewujudkan One Stop Crisis Centre (OSCC) sebagai sistem sokongan berkaitan demi mencegah isu keganasan rumah tangga.

 

Mengulas lanjut, Fadhlina akan menjalankan tugasan pertama beliau untuk mengkaji data melalui pihak-pihak berkuasa mengenai keganasan rumah tangga serta isu-isu berbangkit lain untuk dibawa ke Dewan Negara bagi mendapatkan perhatian Menteri.

 

Chong Eng dalam reaksi balas, menyambut baik kesediaan Fadhlina mengenengahkan isu-isu kekeluargaan dan wanita yang sudah lama diperjuangkan beliau ke peringkat tertinggi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI