MBSP, Citadines jalin kerjasama jayakan inisiatif pemulihan alam sekitar

Admin
whatsapp image 2025 07 10 at 15.12.06 (1)

BERAPIT – Pihak Citadines dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjalinkan kerjasama strategik bagi menjayakan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan komuniti setempat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor berkata kerjasama tersebut mencerminkan nilai sebenar perkongsian antara sektor swasta, awam dan komuniti dalam membina masa depan yang lestari.

“Program ini merangkumi dua lokasi utama iaitu Taman Rekreasi Bukit D.O dan Taman Seri Akasia, Seberang Perai Tengah.

“Di Bukit D.O, usaha membaik pulih prasarana awam akan dijalankan melalui kerja mengecat semula tangga utama, pemasangan sistem water harvesting serta aktiviti penanaman pokok-pokok palma dan pinang sebagai simbolik kehijauan dan kelestarian.

whatsapp image 2025 07 10 at 15.12.07

“Sementara itu, di Taman Seri Akasia pula, aktiviti penanaman pokok-pokok palma dan pinang akan turut dilaksanakan.

“Penanaman pokok-pokok ini merupakan lambang identiti negeri Pulau Pinang, yang bukan sahaja mencerminkan warisan sejarah, malah mengangkat nilai kelestarian alam sekitar yang menjadi teras pembangunan negeri.

“Malah, inisiatif ini juga adalah selaras Visi Penang2030; Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” katanya ketika merasmikan Program 7P’s (People, Public, Private, Philanthophy, Philosopher, Planet, Partnership) dekat Taman Rekreasi PBAPP, Bukit D.O di sini pagi tadi.

Hadir sama, Pengurus Besar Citadines, Lee Boon Kae; Ahli Majlis bagi MBSP serta ketua-ketua jabatan MBSP.

whatsapp image 2025 07 10 at 15.12.08
Tangga di Bukit D.O kini berwajah baru hasil tajaan Citadines.

Mengulas lanjut, Mohd. Ibrahim berkata pendekatan 7P’s yang melibatkan rakyat, pihak awam, sektor swasta, kegiatan amal, intelektual dan ilmu, kelestarian bumi dan kerjasama strategik adalah formula yang tepat dalam menghadapi cabaran global pada masa kini dan akan datang.

“Justeru, saya ingin mengajak lebih banyak syarikat dan institusi untuk  mencontohi Citadines dengan melaksanakan program CSR yang bersifat menyeluruh bukan sahaja kepada manusia, tetapi juga kepada alam sekitar dan warisan tempatan.

“Ke arah itu, MBSP sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam menjadikan Seberang Perai sebuah bandar yang progresif, berdaya tahan dan berdaya saing.

“Harapan saya agar program pada hari ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif hijau yang berimpak tinggi demi kepentingan generasi akan datang,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD