PENANTI – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) komited memelihara serta memulihara warisan ketara yang wujud di sekitar kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan supaya dapat ditatapi oleh generasi akan datang.
Demikian ucapan Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md. Nor semasa merasmikan Sesi Outreach Pemuliharaan Warisan Surau Lama Kubang Semang, Penanti pada 22 Februari 2025.

“Surau Lama Kubang Semang atau dikenali sebagai Surau Tuan Guru Haji Mahmud Taib bin Haji Mahmud Ali merupakan sebuah mercu tanda sejarah yang amat berharga.
“Dibina pada tahun 1910 oleh tukang kayu dan pengukir tersohor, Haji Mahamed Sopian bin Haji Abdul Wahab, surau ini bukan sahaja memiliki nilai seni bina tradisional Melayu yang unik, tetapi juga menjadi pusat ibadah dan pengajian agama sejak sekian lama.
“Namun, surau ini telah terbiar dan mengalami kemerosotan fizikal tanpa pemulihan yang sewajarnya.
“Sehubungan itu, diharapkan program ‘outreach’ seumpamanya ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan surau lama sebagai khazanah warisan Islam dan budaya tempatan,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini.
Difahamkan, MBSP menubuhkan Unit Warisan, Pelancongan, Seni dan Warisan sebelum tanggal 21 September 2019 lagi bagi tujuan penganjuran Hari Warisan sempena pengiktirafan PBT tersebut sebagai ‘majlis bandar raya’.


Selain berusaha memulihara dan memelihara warisan ketara dan tak ketara di sekitar Seberang Perai, Unit Warisan, Pelancongan, Seni dan Warisan MBSP turut berusaha mendokumentasikan sejarah serta nilai warisan berkaitan untuk rujukan generasi akan datang.
Selaras dengan komitmen MBSP tersebut, Mohd. Ibrahim berharap masyarakat setempat dapat memainkan peranan secara aktif, sebagaimana ditunjukkan pelbagai pihak bagi memelihara dan memulihara Surau Lama Kubang Semang di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memuji Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) yang kini diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Dr. Mohamad Sofee Razak atas inisiatif menganjurkan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Menengah demi ‘menghidupkan kembali’ Surau Lama Kubang Semang.
Turut berucap Ahli Majlis MBSP, Nur Aishah Zainol; dan Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Penanti, Mohamad Salehan Jahaya.

Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Dato’ Kamarul Haizal Koderat; dua Ahli Majlis MBSP, Muhamad Suzuki Ahmad dan Zulkiply Ishak, Zainal Abidin Saad (Pegawai Khas Kepada Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim) antara yang hadir menjayakan program ‘outreach’ tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR