MBSP laksana kutipan sisa boleh dikitar semula mulai 1 September ini

Admin
whatsapp image 2025 07 29 at 13.28.45

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan melaksanakan perkhidmatan kutipan sisa yang boleh dikitar semula di premis-premis kediaman bertanah di seluruh Seberang Perai mulai 1 September ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata bahawa kutipan sisa tersebut akan dijalankan oleh syarikat kontraktor kitar semula yang telah dilantik mengikut hari-hari yang ditetapkan bagi semua kawasan Parlimen.

“Kaedah kutipan akan dilaksanakan secara kutipan pintu ke pintu atau Door-To-Door Collection mengikut pembahagian kawasan Parlimen.

“Kutipan bagi Kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor adalah pada setiap hari Isnin, diikuti oleh Parlimen Permatang Pauh (Selasa), Kawasan Parlimen Batu Kawan (Rabu), Parlimen Bagan (Jumaat), Parlimen Bukit Mertajam (Sabtu) dan Parlimen Nibong Tebal (Ahad).

“Waktu operasi kutipan sisa yang boleh dikitar semula di seluruh kawasan Seberang Perai pula akan bermula pada pukul 8.30 pagi sehingga 5  petang,” katanya ketikamempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh Kali ke-613 dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pagi tadi.

Baderul Amin berkata, perubahan jadual kutipan sisa boleh dikitar semula adalah selaras dengan dasar MBSP untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk di Seberang Perai.

“Justeru, MBSP menyeru semua pihak di Seberang Perai supaya dapat mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula seperti kertas, plastik, logam, kaca dan lain-lain sisa kitar semula pada hari kutipan yang telah ditetapkan.

“Bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkaitan jenis-jenis sisa yang boleh dikitar semula, sila layari laman sesawang Local Action (LA) 21 MBSP di www.mbsp.gov.my/la21,” ujarnya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS