MBSP lancar misi kibar bendera di gunung Everest sempena ulang tahun Hari Bandaraya

img 20250829 wa0054

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melancarkan misi untuk menawan Everest Base Camp di Nepal sempena sambutan Hari Bandaraya pada tahun ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata misi tersebut bakal disertai oleh seramai 10 peserta yang terdiri daripada empat kakitangan MBSP dan enam wakil komuniti luar.

img 20250829 wa0052img 20250829 wa0049img 20250829 wa0063img 20250829 wa0061img 20250829 wa0055

 

“Seperti mana kita sedia maklum, ini adalah misi ketiga anjuran MBSP bersempena ulang tahun Hari Bandaraya.

“Sebelum ini, kita telah menawan Gunung Kinabalu setinggi 4,095 meter pada tahun 2023 serta Gunung Tahan setinggi 2,187 meter pada tahun 2024.

“Pada tahun ini, cabaran lebih tinggi menanti iaitu pendakian ke Everest Base Camp setinggi 5,384 meter yang mana misi bukan sekadar ekspedisi fizikal tetapi turut menjadi simbol semangat pantang menyerah serta tekad warga Seberang Perai,” katanya ketika berucap pada Program Sambutan Semarak Merdeka MBSP 2025.

Hadir sama, barisan Ahli Majlis MBSP; Setiausaha Bandaraya MBSP, Mohd. Ibrahim Md Nor; ketua-ketua jabatan dan warga MBSP.

Baderul Amin berkata, objektif utama misi tersebut adalah untuk mengibarkan bendera MBSP di puncak pangkalan Everest yang pastinya akan menuntut ketahanan fizikal, mental dan emosi serta memupuk disiplin dan semangat setia kawan dalam kalangan peserta terlibat.

“Saya berharap agar kontinjen yang terpilih dapat membawa nama baik MBSP dengan penuh tanggungjawab, berjuang dengan semangat waja dan mengharumkan nama Seberang Perai di persada antarabangsa.

“Jadikanlah misi ini sebagai inspirasi bahawa tiada puncak yang terlalu tinggi untuk ditawan apabila kita memiliki kesungguhan, disiplin dan keyakinan diri.

“Sebagai Datuk Bandar, saya menaruh harapan tinggi agar semangat kemerdekaan yang kita raikan pada pagi ini serta semangat juang yang bakal ditunjukkan melalui misi pendakian nanti akan terus menyemarakkan nilai kebersamaan, keberanian dan kecemerlangan dalam diri seluruh warga kerja MBSP,” ujarnya.

Difahamkan, misi menawan Everest Base Camp akan bermula dari 1 hingga 20 September 2025.

Terdahulu, Program Sambutan Semarak Merdeka MBSP 2025 dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku, Negeri Kita serta persembahan koir oleh 20 pegawai MBSP pegawai daripada beberapa jabatan MBSP sambil diiringi kibaran Jalur Gemilang oleh 20 kanak-kanak dari Taska MBSP.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS