MBSP peruntuk hampir RM600,000 naik taraf kemudahan parkir, rekreasi di Tasek Gelugor

Admin
img 20261014 wa0054

PERMATANG BERANGAN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) meneruskan komitmen mempertingkat kemudahan awam yang selesa, selamat dan berkualiti menerusi pembangunan tempat letak kenderaan serta penambahbaikan kemudahan sokongan di Jalan Kubang Menerong di sini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata, projek bernilai RM597,207 itu bukan sahaja menyediakan ruang parkir yang lebih teratur, malah meningkatkan keselamatan pergerakan kenderaan dan pejalan kaki serta memudahkan penduduk mengakses kemudahan rekreasi sedia ada.

Menurutnya, pembangunan berkenaan mencerminkan usaha berterusan MBSP dalam memastikan kemudahan awam yang disediakan memenuhi keperluan masyarakat setempat, sekali gus menyokong pembangunan Seberang Perai sebagai sebuah bandar yang mampan dan berdaya huni.

“Pelaksanaan projek ini juga bertujuan mengoptimumkan penggunaan kawasan lapang milik MBSP sebagai ruang rekreasi dan interaksi sosial, khususnya bagi penduduk di kawasan sekitar.

“Kita berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dan dipelihara bersama demi keselesaan serta kesejahteraan komuniti,” katanya pada Majlis Perasmian Tempat Letak Kenderaan dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di atas Sebahagian Lot 20571, Jalan Kubang Menerong, di sini, bersempena sambutan Hari Bandaraya MBSP Tahun 2026.

img 20261014 wa0062img 20261014 wa0057

 

Baderul Amin menjelaskan bahawa projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Landskap MBSP itu melibatkan kawasan lapang milik pihak berkuasa tempatan berkeluasan kira-kira 16,751.832 meter persegi atau 1.68 hektar, yang terletak berhampiran kawasan perumahan dan sekolah.

Menurutnya, kawasan berkenaan turut dilengkapi kemudahan rekreasi sedia ada seperti alat permainan, alat senaman dan laluan pejalan kaki, menjadikannya antara ruang tumpuan penduduk untuk menjalankan aktiviti riadah bersama keluarga.

“Antara komponen utama projek ialah pembinaan tempat letak kenderaan dan dataran menggunakan interlocking paver seluas 3,200 meter persegi, pembinaan laluan pejalan kaki sepanjang 18 meter serta laluan penyelenggaraan seluas 45 meter persegi.

Kerja-kerja lain merangkumi pemasangan tiga unit bollard, 12 unit papan tanda lalu lintas, pemasangan precast concrete road L-kerb sepanjang 70 meter serta kerja mengecat kerb jalan sedia ada dan baharu sepanjang 300 meter.

“Projek ini turut melibatkan pembinaan pagar penghadang bola, concrete curb edging serta kerja-kerja landskap termasuk penanaman pokok teduhan, palma dan rumput bagi mewujudkan persekitaran yang lebih teratur dan kondusif,” jelasnya.

Beliau berkata, dengan nilai kontrak RM597,207, projek berkenaan dilaksanakan menerusi tender terbuka, menggunakan peruntukan Wang Sumbangan Menggantikan Penyediaan Kemudahan Awam bagi tempat letak kenderaan.

“Kerja-kerja tersebut bermula pada 9 Februari 2026 dengan tempoh kontrak selama 20 minggu dan tarikh siap mengikut kontrak pada 29 Jun 2026.

“Pembangunan kemudahan ini merupakan antara usaha MBSP memperkukuh penyediaan infrastruktur komuniti, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan, kebolehcapaian dan keselesaan pengguna,” ujarnya.

Katanya lagi, seiring aspirasi pembangunan bandar yang mampan, penyediaan ruang awam berkualiti bukan sahaja meningkatkan fungsi sesuatu kawasan, malah berupaya menggalakkan gaya hidup aktif serta mempererat hubungan sosial dalam kalangan penduduk.

“Menerusi pembangunan kemudahan yang memenuhi keperluan setempat, MBSP terus memperkukuh peranan dalam membina persekitaran bandar yang lebih selamat, selesa dan inklusif, dengan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Oleh: SUNARTI YUSOFF

Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI